Rumah Ibadat Semua Agama Dibantu Kerajaan Selangor

SHAH ALAM, 16 NOV : Penganut-penganut bukan Islam di Selangor gembira dengan keprihatinan Pakatan Rakyat terhadap mereka sejak menerajui kerajaan negeri.
Sebelum ini, pentadbiran kerajaan Barisan Nasional terdahulu tidak pernah menyediakan peruntukan untuk rumah ibadat selain Islam dalam belanjawan tahunan.

Bagi melaksanakan dasar ini, Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Ronnie Liu menyerahkan sumbangan berjumlah RM292,500 kepada 19 buah rumah ibadat bukan Islam di Selangor di Dewan Annex semalam.

Pertubuhan Akhlak Maitreya, merupakan salah sebuah badan keagaaman yang menerima sebanyak RM10,000 daripada peruntukan semalam.

Wakilnya Foong See Jong meluahkan kegembiraan dan terharu dengan sumbangan ini.

"Dengan sumbangan ini pihak kami pasti dapat menjalankan pelbagai aktiviti untuk komuniti dengan lebih aktif bagi semua peringkat umur samada tua dan muda. Aktiviti-aktiviti ini diharap dapat mendidik generasi muda terutamanya daripada terjebak kepada perkara yang kurang sihat seterusnya dapat melahirkan generasi yang berakhlak tinggi," katanya.

Pemberian sumbangan ini adalah di bawah peruntukan Belanjawan 2012 Negeri Selangor. Bagaimanapun, sumbangan ini adalah berbeza-beza dan bukan secara automatik. Sebaliknya ia di beri berdasarkan keperluan setiap rumah ibadat.

Seorang lagi wakil penerima sumbangan, Datuk Ang Choo Hong, Pengarah Yayasan Belia Buddhist Malaysia juga menzahirkan rasa syukur dan gembira pada kerajaan negeri.

"Kami ingin melahirkan rasa terima kasih pada kerajaan negeri di atas sumbangan RM50,000 bagi membina sebuah kuil Buddha di Seksyen U12 Shah Alam," katanya.

Sementara itu, menurut Ronnie pada tahun pertama dan kedua sebanyak RM 3 juta diperuntukkan setiap tahun bagi rumah ibadat selain Islam. Tahun ini pula peruntukan meningkat kepada RM 4 juta.

Ronnie juga memberi harapan bahawa peruntukan ini akan dinaikkan kepada RM 6 juta pada tahun akan datang memandangkan terdapat banyak permintaan untuk membaik-pulih rumah ibadat sedia ada mahupun bagi pembinaan rumah ibadat yang baru.


Sumber: TVSNEWS

0 comments:

top