Lebih 3,000 Hadir Rumah Terbuka Deepavali

RAWANG, 8 NOVEMBER : Program Rumah Terbuka Deepavali bersama Kerajaan Selangor yang disempurnakan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim di daerah Rawang disambut meriah dengan kehadiran lebih 3,000 pengunjung berbilang kaum di Jalan Maxwell di sini malam tadi.

Program jelajah sambutan Deepavali kali ketiga itu turut dihadiri barisan Exco dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Selangor, antaranya Dr Xavier Jayakumar, Ronnie Liu, Datuk Teng Chang Khim dan Gan Pei Nei.

Dalam majlis itu, hadirin dihiburkan dengan persembahan nyanyian oleh artis tempatan dan pertunjukan bunga api sebelum Abdul Khalid diarak ke pentas utama untuk memalu peralatan muzik tradisional kaum India iaitu ‘Dol Banghra’ (gendang) sebagai simbolik pelancaran majlis.



Abdul Khalid dalam ucapan ringkasnya, melahirkan rasa bangga dengan kerjasama erat yang terjalin di kalangan masyarakat Selangor berbilang kaum dalam usaha meraikan dan menghormati sambutan perayaan agama masing-masing.

Justeru katanya, masyarakat Hindu khususnya perlu meraikan sambutan Deepavali kali ini dengan penuh keriangan dan kegembiraan bagi menghayati erti kemenangan.

“Pelbagai kaum berkumpul dengan penuh harmoni untuk meraikan sambutan Deepavali. Selain itu kita juga bertuah untuk merayakan sambutan Hari Raya Aidiladha yang juga meraikan kemenangan umat Islam di seluruh negara,” katanya.

Selain itu, beliau turut mengharagai sikap masyarakat setempat yang telah memberi kepercayaan kepada kerajaan Pakatan Rakyat (Pakatan) untuk mentadbir Selangor.

Jelasnya, kerajaan Selangor di bawah Pakatan akan terus berusaha untuk melakukan perubahan demi kesejahteraan sejagat.

“Kerajaan Selangor akan meneruskan program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES), malah akan ditambah dan diperhebatkan lagi untuk memberi kebaikan serta manfaat secara terus kepada rakyat,” ujar Khalid.

Dalam pada itu, Abdul Khalid turut menyumbangkan sejumlah RM521,000 kepada beberapa buah rumah ibadat bukan Islam yang terpilih di sekitar negeri Selangor bagi dibaikpulih untuk kemudahan masyarakat selain memberi ang pow (duit raya) kepada kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah.


Sumber: Selangorkini

0 comments:

top