Pendapatan Usahawan Selangor Terus Meningkat

SHAH ALAM, 15 NOVEMBER : Hampir 80 peratus daripada 2,917 usahawan yang menyertai Program Pemerkasaan Usahawan Negeri Selangor 2011 meraih pendapatan sekitar RM10,000 sebulan.

Exco Pemodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Luar Bandar, Yaakob Sapari melahirkan rasa sukacita kerana program kelolaan Kerajaan Negeri Selangor ini berjaya meningkatkan pendapatan pengusaha Industri Kecil dan Sederhana (IKS) antara 40 peratus sehingga 130 peratus.

“Kerajaan negeri tidak menjalankan program-program berimpak tinggi tetapi sebaliknya lebih tertumpu kepada program-program untuk meningkatkan pendapatan dan kualiti pengeluaran,” kata Yaakob.

Beliau berkata demikian dalam satu jawapan bertulis kepada pertanyaan Adun Sungai Tawar Raja Ideris Raja Ahmad.

Program Pemerkasaan Usahawan ini digerakkan dengan kerjasama Pihak Berkuasa Tempatan. Ia menawarkan kursus pengurusan Asas Perniagaan, Pemasaran, Pengurusan Kewangan dan Rancangan Perniagaan.

Usahawan yang menyertai program ini terlibat dalam pelbagai bidang perniagaan khususnya peruncitan, makanan, perhidmatan dan pembinaan.

“Kira-kira 15% (usahawan) memperolehi pendapatan sehingga RM20,000 sebulan, manakala 5% memperolehi pendapatan lebih dari RM20,000 sebulan,” jelas Yaakob.


Sumber: Selangorkini

0 comments:

top