Sistem Kupon Air Percuma Untuk Pangsapuri

SHAH ALAM, 15 NOV : Semua penduduk pangsapuri kos rendah diserata Selangor bakal menikmati air percuma oleh Kerajaan Negeri menerusi sistem kupon air percuma sebelum 31 Januari tahun hadapan.

Sejak mengambil alih pentadbiran pada tahun 2008, Kerajaan Negeri pimpinan Pakatan Rakyat melancarkan bantuan pemberian 20 meter air percuma atau rebet RM11.40 sebulan kepada pengguna domestik bermeter. Ini memberi faedah kepada lebih 4 juta pengguna di Selangor.

Namun, pemberian ini terbatas kepada penduduk pangsapuri kos rendah kerana menggunakan sistem meter pukal yang mana perlu di migrasi kepada sistem meter individu.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan, Iskandar Abdul Samad berkata menyedari hakikat ini kerajaan negeri mengadakan beberapa siri rundingan dengan pihak Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) untuk menyegerakan proses migrasi tersebut.

"Tetapi, ia (proses rundingan dengan SYABAS) belum cukup untuk mempercepatkan proses migrasi.

"Oleh itu, untuk memastikan rakyat di Pangsapuri kos rendah mendapat pemberian air percuma, Kerajaan Negeri memperkenalkan sistem kupon air percuma,"katanya.

Beliau berkata demikian ketika membuat penggulungan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, hari ini.

Setakat ini, 116 kawasan yang merangkumi 38,746 unit pangsapuri berjaya menerima pemberian air percuma hasil pengenalan sistem kupon.

Mengulas lanjut, Iskandar yang juga Adun Cempaka berkata kerajaan negeri turut memberi pemotongan (diskaun) pada bil air bermeter pukal sebagai kaedah memastikan lebih ramai rakyat menikmati program kebajikan ini.

"Diskaun ini akan diagihkan kepada setiap kediaman di pangsapuri. Pihak pengurusan mesti memberi potongan kepada setiap bil-bil individu yang dikeluarkan."katanya.


Sumber: TVSNEWS

0 comments:

top