PETALING JAYA 16 DIS : PKR mendedahkan pelaburan Petronas berjumlah RM15.8 bilion di Kanada berisiko tinggi ekoran beberapa syarikat besar dunia yang melabur di dalam gas asli bantuan (shale gas) kerugian berbilion ringgit.
 
Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli, berkata sepatutnya Petronas lebih berhati-hati memasuki industri itu ketika syarikat besar sedang mengalami kerugian besar.

Katanya, tiga syarikat besar yang mengalami kerugian itu antaranya syarikat gas asli terbesar Kanada iaitu Encana Corporation, syarikat British iaitu BG Group dan syarikat minyak dan gas Australia iaitu BHP.

“Pada 27 Julai 2012, Encana Corporation kerugian RM5.2 bilion (1.7 bilion dolar kanada) apabila terpaksa melupuskan nilai pelaburannya di dalam rezab gas asli batuan yang tidak memberikan pulangan seperti dirancang. Mereka mengumumkan bahawa akan lebih banyak syarikat kerugian dari operasi masa depan.

“BG Group juga melupuskan bilai pelaburan yang berjumlah RM3.9 bilion (1.3 bilion dolar kanada)

“Begitu juga dengan BHP kerugian RM7.5 bilion (2.5 bilion dolar Kanada) selepas membeli rezab gas asli batuan dari Chesapeake Energy setahun sebelum itu jatuh merudum sepanjang 2012. Dalam tempoh setahun, nilai pelaburan BHP susut hampir separuh dari nilai pelaburan asal,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat PKR, di sini.

Rafizi berkata, pelaburan yang dibuat itu menimbulkan tanda tanya kerana Petronas beriya-iya menyertai pelaburan terbabit sedangkan kerugian syarikat-syarikat itu diketahui umum.

Sehubungan itu, katanya, Petronas dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak perlu menjawab kepada rakyat kedudukan sebenar pelaburan itu.

“Adakah Petronas terpaksa melupuskan nilai (write down) pelaburannnya seperti syarikat yang rugi itu kerana harga asli di Amerika Utara kekal rendah pada US3.37 setiap MMBTU dan tidak pernah meningkat pun berbanding harga sebelumnya di antara US7 ke US12 pada 2008 ke 2010,” katanya.

Sebelum ini, Petronas memeterai perjanjian pelaburannya yang terbesar apabila memuktamadkan pembelian Progress Energy Resources Corporation yang berjumlah RM15.8 bilion.

Urusniaga itu dimuktamadkan akhir tahun 2012 bertujuan membolehkan Petronas menguasai rezab gas asli batuan di kawasan British Columbia.

Rafizi berkata ekoran pelaburan itu juga, perlunya badan pengawasan yang lebih kukuh ke atas pelaburan besar Petronas dan bukannya diserahkan kepada Perdana Menteri semata-mata.

“Saya akan terus membentangkan fakta dan analisa yang menimbulkan beberapa keraguan mengenai urusniaga ini setiap hari sepanjang minggu ini supaya Najib memberi maklumbalas sewajarnya,” katanya.


Sumber: SelangorKu

0 comments:

top