Kekang Banjir, Selangor Ambil Tanah Pesisir Sungai

Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata kerajaan negeri akan melakukan pengambil alihan tanah di pesisir sungai dalam usaha mengekang masalah banjir kilat di negeri itu.

Khalid berkata, beliau telah mengarahkan Pejabat Tanah dan Galian bekerjasama dengan pejabat tanah berkaitan untuk mengambil tanah-tanah tersebut untuk pelebaran sungai.

Beliau juga meminta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengenal pasti kawasan-kawasan sesuai di seluruh Selangor untuk dijadikan kolam tadahan air bagi menangani masalah banjir di negeri ini.

"Kita telah meminta JPS memasukkan arahan ini sebagai antara agenda penting dalam Pelan Pencegahan Banjir seluruh Selangor yang telah dirangka dan sedang dilaksanakan JPS di bawah Rancangan Malaysia ke-10 (RMK-10).

"Dalam RMK-10 yang bermula tahun 2011-2015, JPS telah memohon sebanyak RM774.6 juta di bawah Program Pengurusan Banjir dan Menaiktaraf Saliran yang mana RM93 juta telah diluluskan oleh kerajaan persekutuan manakala RM567 juta dari kerajaan negeri," kata beliau dalam sidang media selepas mesyuarat exco kerajaan negeri hari ini.

Khalid memaklumkan mengenai pertemuan dengan JPS pada minggu lalu di mana agensi tersebut memaklumkan dalam RMK-10, sebanyak 246 projek tebatan banjir dirancang-79 dalam perancangan, 88 ikut jadual dan 31 siap dibina.


Sumber: MalaysiaKini

0 comments:

top