SHAH ALAM 28 DIS: Kerajaan Pusat patut memansuhkan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 sekaligus menubuhkan sebuah badan media yang bebas.

Presiden Majlis Peguam Malaysia, Christopher Leong, dalam satu kenyataan media berkata, akta itu mesti dimansuhkan kerana ia tundang-undang yang tidak boleh diguna pakai dan bertentangan dalam negara demokrasi moden.
 
Katanya, akta itu disalahgunakan apabila memberi ruang kepada pembelian, ugutan, menjejaskan serta menghukum media yang sepatutnya bebas daripada kuasa kerajaan.

“Pemansuhan akta itu tidak bermakna penerbit boleh menulis apa sahaja. Bagaimanapun bertitik tolak pada situasi kini, kerajaan perlu mempertimbangkan mewujudkan sebuah badan media bebas.

“Sekiranya terdapat aduan penyalahgunaan penggunaan tulisan atau apa sahaja, ia boleh diuruskan oleh Majlis Media yang diwakili oleh media sendiri, wakil daripada perkhidmatan awam dan mana-mana pihak berkaitan,” katanya.

Katanya, Majlis Peguam mengutuk insiden penggantungan akhbar mingguan The Heat oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) kerana mencemar Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

“Sehingga kini penggantungan itu menimbulkan tanda tanya selain tiada penjelasan kukuh, pengarang pula tidak diberi peluang membela diri dan bercanggah dengan Akta 13 Perlembagaan Persekutuan.

“Kebebasan media adalah lambang kepada negara demokrasi, kerana itu Malaysia dan rakyatnya memerlukannya dan layak menerima kebebasan ini,” katanya.

Sumber: SelangorKini

0 comments:

top