SHAH ALAM 15 DIS : Kerajaan Selangor menyatakan komitmen untuk tidak akan menaikkan harga air walaupun kadar caj elektrik dinaikkan Kerajaan Pusat mulai 1 Januari 2014.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata pendekatan itu diambil ekoran mahu membantu meringankan beban rakyat.

“Walaupun Kerajaan Pusat mengambil langkah menaikkan caj elektrik tetapi Kerajaan Negeri mengambil keputusan untuk tidak menaikkan harga air,” katanya dalam ucapannya ketika lawatan kerja ke Rumah Puteri Arafiah Seksyen 7, di sini.

Hadir sama isterinya yang juga Yang diPertua Kebajikan dan Amal Wanita negeri (PEKAWANIS) dan Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah Rumah Puteri Arafiah, Puan Sri Salbiah Tunut.

Turut hadir Ketua Pentadbir Perbadanan Menteri Besar (MBI), Rohany Datuk Talib dan wakil pengurusan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Norita Mohd Sidek serta Exco Kebajikan, Rodziah Ismail.

Abdul Khalid berkata sebagai Kerajaan Negeri yang prihatin, rakyat perlu diberikan sokongan dalam menangani isu kenaikan ini.

“Langkah itu diambil untuk menolong rakyat yang mana kita merasakan rakyat memerlukan sokongan dalam masalah ini,” katanya.

Tarif elektrik akan dinaikkan bermula tahun hadapan sebanyak 15 peratus.

Kenaikan itu menjadikan harga baru untuk sekilowatt 33.54 sen di Semenanjung Malaysia.

Manakala bagi Sabah dan Labuan, kadar baru naik sebanyak 16.9 peratus atau 5 sen daripada kadar semasa 29.52 sen/kwj kepada 34.52 sen/kwj.

Sebelum ini, Abdul Khalid mengumumkan Kerajaan Negeri akan meneruskan subsidi air kepada 10 tahun akan datang.


Sumber: SelangorKu

0 comments:

top