Harga Ais Pula Meningkat Mulai Januari Ini

Rakyat yang sudah dibebankan dengan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan serta pemotongan subsidi kerajaan akan semakin panas apabila harga minuman dan makanan sejuk akan dinaikkan ekoran kenaikan harga air batu atau ais.

Persatuan Pembuat Tube Ice Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya akan menaikkan harga ais sebanyak 50 sen setiap beg manakala harga air batu blok pula akan meningkat RM2.50 setiap blok mulai 1 Januari ini.

Menerusi iklan yang dikeluarkan dalam akhbar Inggeris oleh 26 pengilang ais di Lembah Klang, mereka berkata, kenaikan harga ini tidak boleh dielakkan berikutan kenaikan kos pengeluaran dan pengedaran.

"Kadar tarif elektrik yang terkini (kira-kira 17%) bermula 1 Januari 2014 dan kenaikan diesel (naik 11.1%) sejak 2 September tahun ini  telah menyebabkan perkara ini," kata mereka.

Kenaikan harga ais juga disebabkan pelaksanaan dasar gaji minima mulai Januari tahun ini, kenaikan gaji 18% serta kenaikan harga beg plastik, tayar dan alat ganti.

Mereka juga menyalahkan kenaikan ini kepada pihak penguatkuasaan yang selalu dibuat oleh Kementerian Kesihatan dan dalam masa yang sama di bawah Akta Makanan, semua pengeluar ais dan pengendalinya dikehendaki mematuhi prosedur keselamatan.

"Oleh itu, kami tidak ada pilihan tetapi menyesuaikan harga demi mempastikan perkhidmatan kami untuk mengeluarkan ais tidak tercemar dan kebersihannya tidak terganggu," tambahnya.

Kerajaan telah bersetuju untuk mengawal kenaikan harga sejak September apabila subsidi gula dan minyak dipotong, kenaikan tarif elektrik mulai bulan depan dan kemungkinan kadar tol dan cukai taksiran mulai tahun depan.

Kerajaan juga akan memperkenalkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dengan kadar 6% bagi menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan yang bakal bermula April 2015.

Kajian yang dibuat oleh  Universiti Malaya's Centre for Democracy and Elections (UMCEDEL) awal bulan ini mendapati sokongan untuk Barisan Nasional akan jatuh lagi jika gagal mengendalikan isu kenaikan kos sara hidup untuk rakyat Malaysia ini.

Dalam masa yang sama, 61% responden tidak bersetuju dengan cadangan pengenalan GST oleh kerajaan.

Pengarah UMCEDEL, Prof Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman berkata, kenaikan tarif elektrik dan dan petrol memberikan kesan besar kepada mereka yang terlibat dalam kajiannya dan 52% daripada mereka berasa BR1M tidak mencukupi untuk menyelesaikan masalah kenaikan harga barangan.

Minggu lalu, kajian Merdeka Center mendapati, kebimbangan terhadap ekonomi khasnya kenaikan harga dan inflasi meningkat ke tahap tertinggi iaitu 67% daripada semua responden mereka.

Kajian juga mendapati, 55% daripada pengundi di Semenanjung tidak faham kesan GST dalam kehidupan mereka.

Selain itu, 54% daripada responden dilaporkan tidak percaya dengan kenyataan kerajaan berhubung dengan ekonomi negara.


Sumber: TheMalaysianInsider

0 comments:

top