Kerajaan Guna Helah Naikkan Tol - Rafizi

KUALA LUMPUR 15 DIS: Kerajaan menggunakan helah untuk menaikkan kadar tol pada tahun hadapan, kata Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli,

Beliau berkata, kerajaan sengaja menjadikan perjanjian konsesi dengan syarikat konsesi lebuh raya sebagai alasan utama  menaikkan kadar tol, sedangkan perkara itu masih boleh dirundingkan.

“Pihak kerajaan boleh berunding dengan pihak konsesi sebagai jalan mudah untuk tidak membebankan mereka dan rakyat.

“Jangan gunakan alasan bahawa pihak mereka tidak boleh berbuat apa-apa kerana perkara berkaitan kenaikan tol ini sudah terkandung dalam perjanjian,” katanya kepada Suara Keadilan.

Rafizi berkata, kerajaan sepatutnya tegas menyekat kenaikan tersebut kerana lebuhraya yang bertol  juga dibiayai oleh pinjaman mudah kerajaan.

“Pembinaan lebuhraya turut melibatkan geran atau pinjaman yang disediakan oleh kerajaan kepada konsesi-konsesi yang terlibat. Maka, kerajaan berhak untuk turut serta membuat keputusan dan menghalang kenaikan yang memang membebankan rakyat,” tegasnya.

Tambahnya, beberapa konsesi lebuh raya turut dimiliki oleh kerajaan dan sebahagian yang lain telah mencatatkan keuntungan besar dari kutipan tol.

“Konsesi lebuhraya seperti Plus Expressway Berhad dimiliki oleh kerajaan melalui Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Khazanah Nasional.

“Walaupun konsesi lain bukan milikan sepenuhnya oleh kerajaan, tetapi sebahagian besar pemegang sahamnya adalah milik pihak kerajaan melalui kroni mereka.

“Kenaikan tol menyebabkan semakin banyak duit yang masuk ke poket mereka dengan mengutip hasil daripada rakyat sebagai pengguna tol,” ujarnya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar pada 14 Disember berkata kadar tol akan dinaikkan sebagai memenuhi perjanjian dengan konsesi.

Kenaikan itu katanya untuk menjimatkan perbelanjaan kerajaan yang membayar pampasan sebanyak RM400 juta dan untuk berlaku adil kepada pembayar cukai.

“Rakyat sudah beri subsidi kepada konsesi melalui dana besar dalam pembinaan lebuhraya. Konsesi pun telah mendapat banyak keuntungan hasil kutipan tol.

“Kita menentang sebarang kenaikan tol yang akan berlaku,” kata Rafizi yang membidas kenyataan Wahid Omar itu.


Sumber: KeadilanDaily

0 comments:

top