KUALA LUMPUR 10 DIS : Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menegaskan kepentingan pendidikan bagi meningkatkan kehidupan rakyat Selangor dan membebaskan diri dari belenggu kemiskinan.

"Kerajaan Negeri prihatin terhadap keperluan mereka kerana kita merasakan pendidikan adalah salah satu dari usaha kerajaan melepaskan masyarakat dari kongkongan kemiskinan. Oleh itu kita sangat berminat untuk meningkatkan pendidikan kepada semua rakyat," jelasnya.

Menurut beliau, dasar itulah yang mendorong pelbagai bantuan dan program dilakukan oleh kerajaan negeri bagi membantu rakyat.

Beliau berkata demikian dalam majlis penyerahan buku latihan kepada pelajar sekolah di Negeri Selangor bagi sesi persekolahan tahun hadapan.

Sekumpulan lebih 70 pelajar sekolah rendah dan menengah dari keluarga kurang berkemampuan bersama Khalid di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah hari ini menerima bantuan buku dan kewangan bagi sesi persekolahan akan datang.


Kerajaan Negeri membelanjakan lebih RM650 ribu bagi membekalkan lebih sejuta naskah kepada semua 56 Dewan Undangan Negeri(DUN) termasuk kawasan parlimen tanpa mengira parti politik kepada pelajar kurang berkemampuan.

Difahamkan setiap pelajar menerima 20 buah buku latihan yang akan digunakan mereka pada sesi persekolahan akan datang sekaligus mengurangkan beban keluarga mereka.

Turut hadir ialah Exco Negeri Dr Xavier Jayakumar dan Yaakob Sapari serta ADUN Selangor iaitu Dr Nasir Hashim, Amiruddin Shari dan Yunus Khairi.

Khalid turut mengumumkan pembinaan insitut vokasional baru bagi memperkembangkan lagi industri dan membekal pekerja mahir beraliran vokasional dalam industri di negeri ini.

Ia merupakan pilihan kepada pelajar yang berminat melanjutkan pelajaran dalam bidang vokasional selepas peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia(SPM).

"Kerajaan Negeri juga akan merancakkan pembinaan institut vokasional untuk melatih mereka yang walaupun boleh masuk universiti tapi berminat dalam pelajaran berbentuk kemahiran.

Khalid turut berbangga dengan pencapaian negeri Selangor yang melahirkan lebih 30 ribu graduan dari ijazah setiap tahun dari lebih 30 institusi pengajian tinggi awam dan swasta di negeri ini.

Justeru beliau bertekad bagi menambah lagi bilangan graduan bagi memajukan negeri Selangor melahirkan pelajar berkelulusan tinggi, bermotivasi dan berdaya saing dalam pasaran kerja.

"Oleh itu kita mahukan semua anak-anak kita sekarang mempunyai tempat belajar sehingga ke Universiti dan program kedua kita nak galakkan ialah kelas tuisyen supaya dapat pelajaran tambahan dan dapat keputusan baik supaya dapat memasuki universiti," ujarnya.

Sementara itu, Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin Dr Xavier Jayakumar meminta semua ADUN memantau masalah yang dihadapi oleh penduduk bandar yang ditekan berikutan peningkatan kos Petrol dan Diesel.

Beliau mengumumkan bahawa Kerajaan Negeri bersedia memberi subsidi bas sekolah seperti yang diberikan pada kepada pekerja ladang.

"Kemiskinan dalam bandar makin meningkat, Kita minta ADUN prihatin dengan keadaan di bandar sebab tambang bas sekolah ini meningkat seiring dengan peningkatan harga petrol dan diesel. Saya minta ADUN perhatikan betul-betul supaya kita boleh bagi subsidi kepada mereka yang berpendapatan rendah sekali di dalam kawasan," katanya.


Sumber: TVSNEWS

0 comments:

top