Fenomena El Nino Sebabkan Kes Denggi Meningkat

KUALA LUMPUR, 13 Dis - Dewan Negara hari ini diberitahu bahawa peningkatan kes denggi tahun ini adalah disebabkan fenomena El Nino yang mengakibatkan peningkatan suhu dan taburan hujan yang mempengaruhi perkembangan virus dan nyamuk vektor serta penularan jangkitan tersebut.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Rashid Shirlin memberitahu, akibat itu kes kematian akibat denggi di dalam negara meningkat sebanyak 59 peratus dari Januari hingga 11 Disember lepas berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

Jumlah kematian yang dicatat dalam tempoh itu ialah sebanyak 132 kematian berbanding 83 kematian pada tahun lepas dalam tempoh yang sama, sementara jumlah kes meningkat 15 peratus daripada 38,981 kes pada tahun lepas kepada 44,641 kes tahun ini, katanya semasa menjawab soalan Senator Ng Fook Heng pada persidangan Dewan di sini hari ini

Rosnah berkata, bagaimanapun peningkatan kes dan kematian di Malaysia tidaklah seburuk yang dilami oleh beberapa negara jiran seperti di Laos yang meningkat 170 peratus dengan 21,509 kes sehingga 16 Okt lepas berbanding hanya 7,810 kes pada tahun lepas.

Thailand mencatat 70,902 kes sehingga September, peningkatan 117.23 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas, Filipina sehingga Oktober, mencatat hampir sekali ganda iaitu 90.6 peratus peningkatan iaitu daripada 57,819 kes 2009 kepada 110,235 pada tahun ini, katanya.

Di Singapura kes denggi meningkat sebanyak 15 peratus daripada 3,817 kes pada tahun lepas kepada 4,396 kes tahun ini, katanya.

Sementara itu, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Lajim Ukin berkata Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) boleh mengambil tindakan terhadap iklan-iklan yang tidak mematuhi Undang-Undang Kecil berhubung penggunaan Bahasa Kebangsaan di tempat-tempat awam mahupun di papan-papan iklan.

Ini termasuk menurunkan iklan, mengeluarkan notis penguatkuasaan serta mengenakan denda kepada pihak-pihak terbabit, katanya semasa menjawab soalan Senator Datuk Dr Firdaus Abdullah.

“Mesyuarat Majlis Kerajaan Tempatan pada 2008 telah meluluskan garis panduan dan menghantar pekeliling kepada semua PBT. Kalau PBT tak ikut, maka silapnya pada mereka. Kementerian tak ada kuasa atau klausa-klausa untuk mengambil tindakan (pada mereka yang ingkar), hanya PBT yang ada kuasa,” katanya.

0 comments:

top