Polis menangkap 52 orang, manakala ribuan lagi ditembak dengan gas pemedih mata dan pancutan air berkimia bagi menyuraikan perhimpunan bantah kenaikan harga air anjuran Kerajaan Negeri Selangor.

Bagaimanapun Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan pemimpin lain Pakatan Rakyat (Pakatan) berjaya menyampaikan memorandum itu kepada wakil Istana Negara sebagaimana yang dirancangkan.

Lebih 15,000 berpakaian baju merah hadir pada perhimpunan itu untuk menyampaikan bantahan mengenai kenaikan harga air yang dicadangkan oleh Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) dengan restu kerajaan persekutuan Umno-Barisan Nasional (BN).




Lebih 70 peratus anak-anak muda yang berumur 30 tahun kebawah datang untuk menyatakan bantahan. Kedatangan mereka dilihat sebagai memberi isyarat kepada Umno-BN, bukan jalan mudah mereka untuk menang selesa dalam PRU akan datang sekiranya kezaliman dan kerakusan terus mereka perlakukan.

Antara tempat yang menjadi sasaran serangan polis adalah Masjid Negara, dan di hadapan Stesen Keretapi Tanah Melayu (KTMB).


Perhimpunan aman itu bertukar menjadi kecoh apabila polis mengangkat senjata dan meriam air untuk menyuraikan hadiran yang tidak melakukan sebarang provokasi.


Sebilangan orang ditangkap dalam Masjid Negara manakala yang lain dalam perkarangan masjid itu dan Stesen KTM.

Polis bertindak liar apabila cuba menghalang Tan Sri Khalid sendiri daripada mengadakan sidang media di depan pintu utama Istana Negara.

Meskipun menjadi sasaran pelbagai provokasi oleh polis, Tan Sri Khalid dan barisan kepimpinan Pakatan Selangor mencapai hasrat untuk menyampaikan memorandum kepada Istana Negara, sebagaimana yang telah diatus dengan wakil Istana.

Antara yang mengiringi Tan Sri Khalid ke Istana Negara ialah Exco kerajan negeri  Dr Xavier Jayakumar, Yaakob Sapari, Elizabeth Wong, Iskandar Abdul Samad serta Timbalan Presiden KEADILAN, Azmin Ali.



Tan Sri Khalid berterima kasih kepada semua pihak yang menyokong perhimpunan ini dan menyeru agar mereka terus menyokong usaha Kerajaan Selangor mengambil alih industri air.

“Kerajaan Persekutuan membelakangkan kepentingan rakyat dalam isu air. Mereka sepatutnya bersama menyokong kerajaan negeri untuk menghentikan perjanjian tidak adil yang hanya memberi kebaikan kepada syarikat konsesi sedangkan kebajikan dan kepentingan rakyat terus dilupakan,” kata Menteri Besar.


Menteri Besar juga kesal dengan polis yang tidak menunaikan janji untuk membenarkan perhimpunan secara aman diadakan sehingga berlaku tangkapan melebihi 50 orang.


“Saya berharap dan mengesa pihak polis melepaskan mereka tanpa syarat,” kata Menteri Besar.


Tindakan Polis Keterlaluan - SUHAKAM

Sementara itu Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) menganggap tindakan polis menembak gas pemedih mata dan menghalang peserta demonstrasi ‘Kembalikan Hak Air Kepada Rakyat’ di Masjid Negara sebagai keterlaluan.


Pesuruhjaya Suhakam, Muhammad Sha’ani Abdullah yang hadir meninjau keadaan di sini melahirkan rasa kesalnya dengan tindakan polis.

"Mereka (polis) perlu dilatih lagi. Tugas mereka bukan mendera atau maki hamun orang ramai. Ini tidak dilakukan dengan betul dan mereka sepatutnya profesional menanganginya.”

“Saya kesal tindakan ini dan harap selepas ini jadi lebih baik,” kata beliau kepada wartawan di sini.

Beliau turut berjanji akan menghantar laporan Suhakam mengenai hal ini ke parlimen untuk tindakan lanjut.

Bahkan beliau turut mengulangi tekad Suhakam akan terus berjuang untuk kebebasan hak asasi manusia.

“Kita rasa perhimpunan aman ini sepatutnya tidak diganggu. Ia suara rakyat,” tambah beliau.


Wanita Tua Juga Dipukul – Charles Santiago

Ahli parlimen Klang, Charles Santiago adalah antara mangsa yang diheret dan ditendang oleh beberapa anggota polis apabila beliau cuba membantu seorang warga emas.

Ketika kejadian itu, Charles melihat seorang wanita dipukul dan bajunya koyak-rabak akibat kekasaran polis.

Mereka menjadi sasaran polis walaupun berhimpun secara aman untuk mengiringi Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim bagi menyampaikan memorandum kepada Istana Negara untuk memohon supaya hak menguruskan air dikembalikan kepada rakyat.

Tanpa sebarang provokasi, tiba-tiba ribuan orang diserang oleh FRU, menyebabkan ramai yang cedera.

“Seorang wanita berhampiran saya sedang menangis tetapi polis terus memukul orang, merobek baju, dan mereka benar-benar di luar kawalan.

“Wanita di sebelah saya dipukul, wanita tua juga dipukul, baju dirobek. Mereka pukul untuk apa? Adakah ini arahan Ketua Polis Negara yang baru?,” katanya lagi.


Polis Serbu Secara Tiba-tiba, Lelaki 51 Tahun Patah Kaki, Wanita Pitam

Dalam pada itu, penyelaras kempen, Dr Badrul Amin Bahron berkata, tindakan polis yang secara tiba-tiba menyerbu para peserta yang berada di pekarangan Masjid Negara menyebabkan seorang lelaki bernama Azami Ismail patah kaki dan seorang wanita pitam ketika cuba menyelamatkan diri.

“Ketika polis menyerbu ke Majis Negara lelaki itu yang berusia 51 tahun telah jatuh di tangga menuju ke masjid dan patah kaki.

“Saya difahamkan lelaki tersebut telah dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang oleh ahli keluarga untuk pemeriksaan. Dia kini sedang dirawat.”

“Selain itu, seorang wanita yang pitam itu dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk pemeriksaan, dia sekarang masih lagi dalam keadaan lemah,”


Tambah Badrul Amin, pihaknya kecewa dengan tindakan polis yang tidak membenarkan penyokong mengiringi Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim ke Istana Negara sebalik bertindak kejam kepada penyokong.

“Setelah Menteri Besar menyerahkan memorandum kepada wakil istana kita telah membuat keputusan untuk pulang semula ke Masjid Negara untuk memaklum kepada penyokong bahawa kita telah berjaya.

“Namun kita dihalang polis untuk ke sana, sehubungan itu kita telah meminta wakil kita untuk mengarahkan semua penyokong yang berada di Masjid Negara bersurai.

“Tetapi dalam proses bersurai itu, polis secara tiba-tiba menyerbu masuk ke Masjid Negara dan menyebabkan penyokong-penyokong bertempiaran lari,” katanya.

Kesemua penyokong yang berada di Masjid Negara mula bersurai kira-kira pukul 4 petang tadi.


Usul Kekerasan Polis Terhadap Orang Awam Ke Parlimen

Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefli turut mengecam tindakan polis menggunakan kekerasan terhadap penyokong baju merah di sekitar Masjid Negara.


Dr Dzulkefli berkata, beliau akan membawa usul kekerasan polis terhadap orang awam ke parlimen pada sesi akan datang.


“Amat malang tindakan polis bertindak keterlaluan dalam kezaliman."

“Kalau polis boleh benarkan Menteri Besar ke Istana Negara mengapa tidak benarkan masyarakat di sini berhimpun,” kata beliau.

“Pihak polis mengizinkan empat kereta, Menteri Besar dan Exco diiring polis ke istana. Jelas mereka mempunyai niat jahat, kerana belum pun kereta kami melepasi kawasan selamat itu, pihak FRU telah menembak ke arah kami. Menteri besar, Exco dan saya sendiri terperangkap dalam asap gas pemedih mata dalam kereta kami,” tambahnya lagi.

Seramai 52 peserta perhimpunan telah ditahan dan dibawa dengan trak ke balai polis,  mereka kemudiannya dibebaskan sekitar jam 6.00 petang semalam.



Kronologi Penyerahan Memorandum Kembalikan Hak Air Kepada Rakyat

2.58pm: Polis mula menyerbu ke dalam pekarangan Masjid Negara. Dilaporkan dua peserta ditangkap

2.55pm: Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim memberitahu media, kerajaan Selangor akan menawarkan sejumlah RM6 bilion kepada konsesi air Syabas.

“Kita telah menerima surat daripada Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air yang bersetuju supaya kerajaan negeri membuat tawaran penstrukturan semula air di negeri Selangor.

“Kerajaan Selangor akan menawarkan secepat mungkin kepada kementerian,” kata beliau.

Keadaan masih terkawal sementara pasukan FRU kelihatan telah bersurai.

2.40pm: Dua lagi ditahan di bulatan Stesen Keretapi Kuala Lumpur.


2.30pm: Sedikit kekecohan berlaku apabila polis cuba menghalang Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid mengadakan sidang media di depan pintu utama Istana Negara.

Tindakan polis bagaimanapun dibantah oleh Exco Selangor yang turut mengiringi Khalid menyerahkan petisyen dan memorandum, dengan alasan bahawa polis langsung tidak mengganggu ketika kumpulan bertentangan, GAPS, mengadakan sidang media di tempat yang sama sebelum itu.

Turut mengiringi Khalid ialah Dr Xavier Jayakumar, Yaakob Sapari, Elizabeth Wong, Iskandar Abdul Samad serta Timbalan Presiden KEADILAN, Azmin Ali.

2.20pm: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim telah menyerahkan memorandum dan petisyen 150,000 ribu rakyat Selangor kepada wakil istana.

Beliau kini sedang memberikan kenyataan kepada wakil media. Sementara itu, lapan ditahan di hadapan Stesen Keretapi Kuala Lumpur.

2.10pm: FRU melepaskan tujuh das gas pemedih mata dan meriam bagi menghalang lautan manusia. Para peserta kini mengarah ke Stesen Keretapi Kuala Lumpur. Kereta yang dinaiki Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan pemimpin bagaimanapun dibenarkan menuju ke Istana Negara.

2.03pm: FRU melepaskan gas pemedih mata ke arah peserta dan merempuh perarakan tanpa sebarang amaran.

1.55pm: Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim dalam ucapannya berkata, penswastaan air pada 2004 lalu membebankan rakyat di Selangor, Putrajaya dan Kuala Lumpur. Usaha kerajaan negeri katanya, adalah untuk menghentikan episod kerakusan rejim terdahulu demi kebajikan rakyat.

Tan Sri Khalid juga menyeru ribuan peserta supaya berjalan berarak ke Istana Negara dengan tenang dan berdisiplin


1.53pm: Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim mengumumkan lebih 150 ribu tandatangan diperolehi bagi memorandum ‘Kembalikan Hak Air Kepada Rakyat’ dihadapan lebih 15 ribu peserta yang membanjiri Masjid Negara

1.50pm: Pembantu Menteri Besar kelihatan sedang berunding dengan pihak polis bagi menetapkan laluan perjalanan peserta himpunan aman ke Istana Negara.

1.40pm: Menurut Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago dan Badrul Amin, seramai 15,000 orang sudah berkumpul di Masjid Negara.

Sementara itu, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sedang menyampaikan ucapan.

Bercakap kepada perhimpunan dengan menggunakan 'hailer' dari tingkat atas masjid, Tan Sri Khalid berkata cadangan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) untuk menaikkan tarif air tidak oleh dibenarkan kerana akan hanya membebankan golongan berpendapatan rendah rakyat apatah lagi kini terus menanggung kenaikan harga barangan keperluan.


"Memorandum yang ingin diserahkan kepada Yang Dipertuan Agong memohon baginda menggunakan kuasa yang ada pada baginda untuk menyekat penindasan ke atas rakyat oleh syarikat korporat yang hanya mementingkan keuntungan," kata beliau. 

Dalam pada itu, isyarat baik diterima dari Istana Negara dengan menyaksikan pintu utama Istana Negara dibuka luas dan pihak polis juga dilihat memberi laluan kepada rombongan rakyat menuju ke istana.

1.10pm: Semua jalan menuju ke Istana Negara dan Masjid Negara ditutup.

Sementara itu, laungan ‘tolak Syabas, tolak BN, hancur Syabas, hancur BN’ terus bergema di pekarangan Masjid Negara.

Presiden Persatuan Mahasiswa atau Perwasis, Mohamad Izuddin Zaini memberitahu pihaknya berkumpul bersama-sama kerajaan negeri atas tiket ‘student power’ dalam usaha menyokong kempen ‘Kembalikan Hak Air Kepada Rakyat’.

Lebih 400 wakil mahasiswa dari Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Unisel, Gabungan Mahasiswa Islam Semalaysia (GAMIS), Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (KAMI) turut menyertai perhimpunan pada hari ini.


1.00pm: 5 lagi peserta demo berpakaian merah sambil membawa sepanduk ditahan di Muzium Negara.

12.55pm:
Lebih 10,000 mula membanjiri Masjid Negara untuk menyertai perarakan menyerahkan memorandum ‘Kembalikan Hak Air Kepada Rakyat’ kepada pihak Istana Negara.

12.45pm: 10 ahli GAPS diketuai Hamizon Khairuddin tiba di pekarangan Istana Negara menaiki dua kenderaan MPV menyerahkan memorandum mereka kepada wakil pegawai Istana. Polis dilihat memberi kerjasama sepenuhnya dan membenarkan kedua-dua kenderaan terbabit memasuki pekarangan istana.

12.10pm:
Dalam perkembangan terbaru, Exco Selangor, Elizabeth Wong menulis dalam twitternya, ADUN Kota Damansara, Dr Nasir Hashim, S. Arutchelvan dan seorang lagi anggota Parti Sosialis Malaysia (PSM) ditahan polis di KL Sentral, ketika dalam perjalanan ke Istana Negara.

Sementara itu, Penyeleras Kempen Air untuk Rakyat, Badrul Amin Bahrom melahirkan kekesalannya di atas penangkapan ketiga-tiga mereka. Menurut beliau, ini adalah usaha untuk menakut-nakutkan orang ramai bagi menyertai perhimpunan aman tersebut.

Kira-kira 3,000 rakyat mula membanjiri Masjid Negara. Turut kelihatan di pekarangan Masjid Negara ialah Badrul Hisham Shaharin, Elizabeth Wong, Mohamad Sabu, Tian Chua dan Gobind Sing Deo.

11:45am: Orang ramai kelihatan mula membanjiri Masjid Negara. Sementara itu,  Badrul Hisham Shaharin yang menawarkan seramai ‘50 marsyal demo’ memaklumkan dalam twitternya bahawa Gabungan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS) membatalkan hasrat berarak dengan berjalan kaki ke Istana Negara, sebaliknya ke sana dengan menggunakan kenderaan.

11.15am: Polis kini mengadakan sekatan jalan raya di susur keluar Sungai Besi menuju ke Istana Negara
.
11:10am: Di Dataran Kemerdekaan Shah Alam, suasana masih lengang. Difahamkan beberapa sekatan jalan raya dilakukan oleh pihak polis bertujuan menghalang orang ramai dari berkumpul. Antaranya di Sungai Buloh, Bestari Jaya dan Batu 3. Turut difahamkan operasi komuter di stesyen Batu 3 Shah Alam juga turut terjejas.

10.50am: Polis telah menutup Jalan Kinabalu. Kira-kira tujuh trak FRU dan sebuah trak meriam air ditempatkan di depan Istana Negara.

Sekumpulan 20 anggota polis turut mengawal di sekitar kawasan berkenaan. Sementara jurukamera TVS, Mohd Hanafi yang membuat lliputan di kawasan berkenaan telah ditahan dan disoal siasat oleh sekumpulan anggotan polis sebelum dibebaskan beberapa minit kemudian.

10.30am:
Kira-kira 100 anggota Unit Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) polis berada di sekitar Jalan Travers.

10.00am: Seawal jam 8.30 pagi pasukan polis menggerakkan anggotanya mengawal setiap pintu masuk Masjid Negara. Semua pintu masuk ke pekarangan masjid berkenaan ditutup dan dikawal ketat.

Memorandum Kembalikan Hak Air Kepada Rakyat Kepada Yang Di-Pertuan Agong
Berikut adalah kandungan memorandum oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim kepada Yang di-Pertuan Agong yang diserahkan melalui wakil Istana Negara.

Memorandum
Isu Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Air di Selangor Darul Ehsan

Kepada:
Duli Yang Maha Mulia Tuanku Al-Wathiqu Billah Al-Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al Muktafi Billah Shah
Yang Dipertuan Agong, Malaysia

Daripada:
Rakyat Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya serta
Kerajaan Negeri Selangor Darul Ehsan
2010

Dengan nama Allah SWT Tuhan Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang.
Selawat dan salam buat junjungan besar Nabi Muhammad SAW pesuruh Allah SWT yang sangat mencintai dan menggesa umatnya berlaku adil.

Assalamu’alaikum w.b.t.
Ampun Tuanku beribu ampun, sembah rakyat harap diampun.

Dengan keinsafan bahawa kehidupan asasi manusia cukup bergantung dengan akses kepada air yang bersih pada kadar harga munasabah,

Dengan kesedaran perkembangan kos sara hidup rakyat kian meningkat berbanding pendapatan,

Dengan ketegasan menentang penyelewengan, salah guna kuasa dan kepura-puraan,

Dengan iltizam menegakkan sebuah kepimpinan yang prihatin, telus, bertanggungjawab, cekap, dan menghormati semangat dan amalan Persekutuan;

Maka dengan ini kami, Rakyat dan Kerajaan Negeri Selangor, berkumpul marafak sembah ke bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku untuk menyampaikan suara hati kami terhadap isu Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Air di Selangor Darul Ehsan.

Ampun Tuanku beribu ampun, sembah rakyat harap diampun.

1) Mengembalikan Hak Air kepada Rakyat
Kami, mewakili 150,000 rakyat Selangor yang telah menurunkan tandatangan sebagai tanda sokongan kepada Memorandum ini dan juga keseluruhan rakyat Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang mendapatkan perkhidmatan air yang sama, menuntut keadilan untuk diri kami membetulkan kesalahan dalam penswastaan Industri Perkhidmatan Air yang telah dibuat, sehingga menyebabkan kualiti dan perkhidmatan air yang teruk serta peningkatan tarif air pada kadar yang tidak munasabah.

Justeru, kami menuntut kualiti air dan Perkhidmatan Air yang bersih pada kadar yang munasabah, dengan mengambil kira rakyat miskin serta mereka yang berpendapatan rendah di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya. Kami merafak sembah memohon Tuanku menitahkan agar Hak Air ini dikembalikan kepada rakyat melalui pengambil-alihan oleh Kerajaan Negeri Selangor.

2) Mematuhi Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (WSIA 2006)
Kami merafak sembah memohon Tuanku mendokong semangat dan matlamat Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 yang telah menjelaskan keperluan Industri Perkhidmatan Air ini distrukturkan semula secara holistik dan diuruskan oleh Kerajaan Negeri Selangor. Sesungguhnya, Akta ini telah dirangka dan diluluskan dengan tujuan membetulkan kesalahan yang dibuat semasa menswastakan Industri Perkhidmatan Air sebelumnya. Kami merafak sembah memohon Tuanku mengingatkan Kerajaan Persekutuan agar tidak berdolak-dalik tentang keputusan ini.

3) Menghak-upayakan Rakyat
Perjanjian konsesi yang ditandatangani pada tahun 2004 antara Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (“SYABAS”), Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Selangor mengandungi sejumlah persoalan yang jelas menunjukkan SYABAS tidak pedulikan kebajikan rakyat seperti kenaikan tarif air pada kadar yang tinggi (37% pada tahun 2009, dan 25%, 20%, 10% serta 5% pada 2012, 2015, 2018 dan 2021). Perjanjian ini seharusnya dirundingi dengan rakyat Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya kerana mereka adalah penerima kesan utama daripadanya.

Kami merafak sembah memohon Tuanku menghak-upaya rakyat dengan memastikan bahawa sebarang perjanjian baru yang mahu dibuat perlulah dirunding dengan rakyat Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya sebelum dimuktamadkan.

4) Mengembalikan Kuasa Kerajaan Negeri
Perkhidmatan air yang telah dimasukkan dalam Senarai Bersama Perlembagaan Persekutuan 1957 memberikan kuasa bersama Kerajaan Negeri Selangor dan Kerajaan Persekutuan dalam hal berkaitan. Kami mendesak Kerajaan Persekutuan untuk menghormati semangat Persekutuan ini dan kuasa yang dimiliki oleh Kerajaan negeri dalam isu berkaitan perkhidmatan air ini, dan jangan berdolak-dalik menentang Kerajaan Negeri Selangor. Kami merafak sembah memohon Tuanku untuk mengembalikan kuasa Kerajaan Negeri Selangor dalam hal ini.

5) Menghapuskan Kronisme
Telah menjadi persepsi umum bahawa Kerajaan Persekutuan mengambil sikap menyebelahi sektor swasta, dalam kes ini syarikat tertentu, yang boleh disabitkan dengan amalan kronisme. Telah terbukti bahawa usaha membolehkan syarikat-syarikat penerima konsesi ini mendapat sejumlah keuntungan tertentu, mereka dibenarkan untuk menaikkan kadar tarif yang tinggi dengan pemberian jaminan pinjaman Kerajaan Persekutuan yang bermaksud rakyatlah menjadi pembayarnya. Rakyat di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya kini perlu membayar kadar harga air yang tinggi, dan pembayar cukai Malaysia perlu menjamin risiko perniagaan SYABAS. Kami merafak sembah memohon Tuanku mengingatkan janji Kerajaan Persekutuan untuk segera menghapuskan kronisme.

Dengan mandat diberikan rakyat, Kerajaan Negeri Selangor bertekad untuk memastikan nasib mereka terbela. Dengan pengambil-alihan Industri Perkhidmatan Air ini, Kerajaan Negeri Selangor berjanji untuk mengusahakannya dengan cara terbaik untuk manfaat semua.

Sekianlah penjelasan daripada Kerajaan Negeri Selangor dan rakyat Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang bersama mendoakan dan menyokong tindakan penting ini.

Menjadi harapan rakyat di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya untuk melihat ia diambil perhatian serius oleh Duli Yang Maha Mulia Tuanku. Rakyat menjunjung kasih atas perhatian yang diberikan.

Sekian, terima kasih.
Daulat Tuanku.
5 Disember 2010.




Kredit Foto:
Yuisri Yus
Orenji Ren Oren

0 comments:

top