Dr Xavier Jayakumar telah menghadiri istiadat pemeriksaan kawalan kehormat utama sempena hari keputeraan ke-65 Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang berlangsung pada pagi ini.

Dr Xavier juga mengucapkan tahniah kepada Datuk Teng Chang Kim, Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor diatas penerimaan penganugerahan Darjah Kebesaran Datuk Paduka Mahkota Selangor (D.P.M.S.) (Kelas Kedua) yang membawa gelaran “Datuk”.

Pada hari ini Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar dan Sultan Kelantan Sultan Muhammad V mengetuai senarai 121 penerima darjah dan bintang kebesaran Selangor sempena Hari Keputeraan Ke-65 Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah. 

Sultan Johor dan Sultan Kelantan masing-masing menerima Darjah Kerabat Yang Amat Dihormati (D.K.). 


Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar menerima Darjah Kelas Pertama — Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor (S.P.M.S.) yang membawa gelaran “Datuk Seri”. 

Turut menerima S.P.M.S. ialah Canselor Universiti Kolej Sedaya International (UCSI) yang juga Pro Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) Tan Sri Dr Abdul Rahman Arshad. Istiadat pengurniaan darjah kebesaran itu berlangsung di Istana Alam Shah, Klang pada Sabtu. 

Anakanda Sultan Selangor Tengku Amir Shah dan Pro Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM) Tan Sri Nayan Ariffin masing-masing menerima Darjah Kebesaran Datuk Setia-Sultan Sharafuddin Idris Shah (S.S.I.S.) (Kelas Pertama) yang membawa gelaran “Datuk Setia” bagi lelaki dan “Datin Paduka Setia” bagi wanita. 

Dua belas orang menerima Darjah Kebesaran Datuk Paduka Mahkota Selangor (D.P.M.S.) (Kelas Kedua) yang membawa gelaran “Datuk” bagi lelaki dan “Datin Paduka” bagi wanita iaitu Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor Teng Chang Khim, Pengarah Urusan Sime Darby Property Bhd Datuk Tunku Putra Badlishah Ibni Tunku Annuar; Naib Canselor Universiti Pertahanan Nasional Malaysia Leftenan Jeneral Datuk Wira Allatif Mohamed Noor; Pakar Klinikal Kanan O&G Markas Tentera Darat Leftenan Jeneral Datuk Dr Abd Razak Md Yusoff, Panglima Angkatan Bersama Markas Angkatan Tentera Laut Laksamana Madya Datuk Jamil Osman, Timbalan Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) Md Nasir Md Arshad, Timbalan Ketua Pengarah II Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia Datuk Wahab Hamid. 

Turut disenaraikan ialah Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang (MPK) Mislan Tugiu, Pegawai Daerah Hulu Langat Zainal Abidin Aala, Pengarah Jabatan Alam Sekitar Negeri Selangor Che Asmah Ibrahim, Pakar Perunding Bedah Am dan Ketua Jabatan Bedah Hospital Tengku Ampuan Rahimah Dr Mohamed Yusof Abdul Wahab dan Pengarah Nestle (M) Bhd Mohd Rafik Shah Mohamad.

Penerima Darjah Kebesaran Datuk-Sultan Sharafuddin Idris Shah (D.S.I.S.) (Kelas Kedua) yang membawa gelaran “Datuk” bagi lelaki dan “Datin Paduka” bagi wanita pula ialah Panglima Sistem Armada Markas Tentera Laut Laksamana Pertama Datuk Khairuddin Khalid, Timbalan AKS Perkhidmatan Anggota Kementerian Pertahanan Brig. Jeneral Datuk Ahmad Annuar Ahmad (TUDM); Dekan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Datuk Dr Ramlah Adam, Ketua Pasukan Malaysia Perlawanan Bola Sepak Jerman Sukan Olimpik 1972 Datuk M. Chandran, Pegawai Daerah Klang Bakhtiar Hussin, Ketua Pengarah Perbadanan Harta Intelek Malaysia Azizan Mohamad Sidin, Pengarah Institut Penyelidikan Produk Halal UPM Dr Yaakob Che Man; Pengarah Pasukan Pertubuhan Khas Persekutuan Majlis (Sabah Labuan) Keselamatan Negara Misri Barham, Pensyarah Jabatan Fizik Universiti Malaya Prof. Dr Mohd Zambri Zainuddin, Pensyarah Kanan Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof. Madya Dr Ab Halim Tamuri, Pendaftar UPM Wan Azman Wan Omar, Ketua Pegawai Eksekutif Worldwide Holdings Bhd Norazlina Zakaria. 

Turut menerima D.S.I.S ialah Naib Presiden Eksekutif Sapura Secured Technologies Sdn Bhd Wan Shaharuddin Wan Mahmood, Pegawai Eksekutif NGV Tech Sdn Bhd Zulkifli Sharif, Ketua Pegawai Eksekutif I Berhad Eu Hong Chew dan Timbalan Presiden Eksekutif & Ketua Pegawai Kewangan SP Setia Bhd Group Teow Leong Seng. Seramai 15 orang  menerima Darjah Kebesaran Setia Mahkota Selangor (S.M.S) iaitu Pengarah Dasar dan Pengurusan Markas Tentera Darat Kolonel S.Suriakala, Pengarah Sumber Markas Tentera Darat Kolonel Nazri Abu Bakar, Pengarah Undang-undang Markas Tentera Laut Kapten Azhari Abdul Aziz; Pegawai Pemerintah Pengkalan Udara Subang Kolonel Ramlan Kasbi, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Abd. Jalil Hassan dan Ketua Pusat Kesihatan UPM Dr Yahaya Abu Ahmad dan Timbalan Setiausaha Perkhidmatan Suruhanjaya Perkhidmatan Malaysia Lim Mooi Eia; Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penyelidikan & Pembangunan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) Mohd Shahzihan Ahmad, Ketua Pendaftar Jabatan Kehakiman Syariah Selangor Zainor Rashid Hassin, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Selangor Adnan Abu Bakar, Setiausaha MPK Mohd Ikhsan Mukri; Pengarah Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA) Selangor Jauriah A.Ghani; Pegawai Protokol Istana Pejabat Sultan Selangor Ahmad Fasal Zakaria, Pengurus Besar (Operasi Wilayah 1) Tenaga Nasional Berhad (TNB) Mustafa Din dan Ketua Pegawai Eksekutif/Pengarah Urusan Jakel Trading Mohamed Faroz Mohamed Jakel. 

Seramai 18 orang menerima Darjah Kebesaran Setia-Sultan Sharafuddin Idris Shah (S.I.S) dan 27 orang menerima Darjah Kebesaran Ahli Mahkota Selangor (A.M.S) termasuk bekas penyunting Berita Ekonomi Bernama mendiang Lim Chong yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada 26 November lepas. Turut tersenarai sebagai penerima A.M.S ialah wartawan The Star Edward Rajendra. 

Selain itu, 20 orang menerima Darjah Kebesaran Ahli-Sultan Sharafuddin Idris Shah (A.I.S) dan tujuh orang menerima Bintang Perkhidmatan Cemerlang (B.P.C). 
Sementara itu, Sultan Selangor turut berkenan mengumumkan pelantikan tiga Jaksa Pendamai (J.P) yang akan berkuat kuasa pada 1 Januari depan.

0 comments:

top