SHAH ALAM 1 DIS: Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor akan melaksanakan pelan tindakan untuk membantu rakyat Selangor yang tidak berkemampuan untuk melunaskan tunggakan bil air, sebaik sahaja ia diberikan kelulusan oleh kerajaan persekutuan untuk mengambil alih pengurusan air negeri ini daripada Syarikat Bekalan Air Selangor atau Syabas dan tiga syarikat konsesi lain.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim melahirkan rasa kesal atas tindakan terbaru Syabas yang menghukum lebih 800 penghuni pangsapuri Desa Pandan selepas beberapa penduduk terbabit tidak mampu membayar tunggakan mereka.

Tan Sri Khalid menjelaskan rancangan pengambil-alihan aset-aset milik konsesi air digerakkan kerana Kerajaan Negeri menyedari pengusaha air hanya memikirkan keuntungan semata-mata.Bantuan untuk golongan yang tidak mampu menjelaskan tunggakan bil air mereka akan disalur menerusi tabung yang membiayai skim pemberian air percuma 20 meter padu.

"Apabila pemilikan pengurusan air dalam kerajaan, kerajaan mempunyai dana kebajikan, dimana ianya boleh dilakukan (untuk membantu rakyat yang tidak mampu membayar tunggakan bil air)," kata beliau di satu sidang akhbar di Bangunan Sultan Abdul Aziz Shah, Shah Alam hari ini.

Tan Sri Khalid melahirkan rasa dukacita dengan tindakan Syabas menghukum kesemua penghuni blok pangsapuri yang terjejas, walhal isu ini boleh diselesaikan secara matang dan bertimbang-rasa.

"Syabas mendapati ia akan mengurangkan keuntungan mereka. Oleh sebab itu Syabas tidak teragak-agak memotongnya sebab dia takut dia tidak mendapat keuntungan," komen beliau.

Tan Sri Khalid berharap Kerajaan Persekutuan dan pengusaha konsesi air dapat berkerjasama dengan Kerajaan Negeri bagi memecahkan kebuntuan rundingan pengambil-alihan aset air.

"Itulah sebabnya Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri pada 2006 bersetuju pengurusan air diberikan kepada kerajaan negeri. Ini bukan di Selangor sahaja, di Negeri Sembilan sudah dilakukan dan di Melaka pun sudah dilakukan.Tapi boleh jadi sebab Selangor di bawah Pakatan Rakyat, Kerajaan Persekutuan enggan melakukannya," tegas Khalid.

0 comments:

top