Surat Khabar Versi Tamil Bakal Terbit

SHAH ALAM, 2 Dis - Sejajar dengan hasrat kerajaan negeri merakyatkan informasi kepada segenap lapisan rakyat di Selangor, surat khabar dalam bahasa Tamil bakal diterbitkan menjelang 2011.

Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Dr Xavier Jayakumar berkata, setelah hampir setahun naskah Selangor Kini memuatkan perjalanan program kerajaan negeri dalam bahasa Melayu, kini tiba masanya surat khabar bahasa Tamil dijadikan alat penyebar maklumat bagi masyarakat kaum India pula.

“Exco bersetuju untuk mengeluarkan majalah dalam bahasa Tamil tahun depan dan kita akan pastikan setiap bulan diterbitkan satu naskhah,” katanya ketika berucap sempena sambutan Deepavali untuk kakitangan SUK hari ini.

Tambahnya lagi, naskah lapan halaman itu diberikan secara percuma oleh Pejabat Menteri Besar dan akan menampilkan berita, agenda dan program untuk rakyat Selangor.

“Lapan muka surat akan kita muatkan tetang berita-berita negeri Selangor dan diberi percuma kepada seluruh masyarakat India di Selangor,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Xavier turut meminta kerjasama daripada ketua-ketua komuniti untuk menjalankan kerja-kerja penyebaran naskhah bulanan tersebut.

“Saya akan minta kerjasama, terutamnya daripada ketua-ketua komuniti kaum India untuk menyebarkan surat khabar ini kepada penduduk di kawasan masing-masing,” jelasnya.

Turut hadir di majlis tersebut ialah Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Ronnie Liu, Exco Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar, Elizabeth Wong dan Setiausaha Politik Kerajaan Negeri, Faekah Husin.

0 comments:

top