SHAH ALAM 21 Dis - Rundingan baru bagi pengambilalihan bekalan air antara Kerajaan Selangor dan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) akan  dilakukan dengan penuh profesional, telus  dan beretika walaupun Syabas menfailkan saman RM471 juta terhadap Kerajaan Negeri.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata Kerajaan Negeri akan melakukan yang terbaik untuk mempertahankan diri terhadap tuntutan Syabas berikutan keengganan kerajaan negeri membenarkan tarif air dinaikkan, tetapi Kerajaan Negeri tidak akan membiar kes ini mempengaruhi rundingan yang akan dijalankan.

"Kami sentiasa profesional, telus dan kami akan terus bersikap begini dalam rundingan yang dijalankan,”  kata Menteri Besar.

Namun,  beliau kurang yakin Syabas mampu mengambil pendirian yang sama berikutan keengganan syarikat itu mematuhi arahan kerajaan negeri yang tidak membenarkan tarif air dinaikkan sebelum rundingan penstrukturan semula diselesaikan.

Kerajaan Selangor ketika ini sedang menyiapkan dokumen-dokumen tawaran kepada pemegang konsesi air iaitu Syabas, Puncak Niaga (M) Sdn Bhd, Abass dan SPLASH bagi mengambil alih industri air.

Rundingan air fasa baru ini bermula selepas Kerajaan Persekutuan memberi ‘lampu hijau’ kepada kerajaan negeri untuk mengadakan rundingan secara terus dengan syarikat konsesi.

Dalam isu berkaitan, Besar Menteri mengutuk Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air,  Datuk Seri Peter Chin Kah Fui berikutan kenyataannya mengkritik tindakan kerajaan Selangor mahu menarik lesen Syabas kerana menubuhkan Tabung Budi yang menggunakan dana air percuma milik kerajaan Selangor untuk membiayai hutang-hutang pelanggan Syabas.

"Kami berharap dapat menyelesaikan rundingan ini tetapi kita tidak boleh menutup mata  terhadap  kesalahan yang dilakukan Syabas. Jika Syabas takut tindakan kami terhadap Tabung Budi boleh mempengaruhi perundingan pengambilalihan air,  bagaimana pula dengan tindakan Syabas menfailkan saman terhadap Kerajaan Selangor,” kata Menteri Besar.

Exco Selangor, Teresa Kok yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kempen Kembalikan Hak Air Kepada Rakyat pula berkata, kenyataan Menteri itu menunjukkan Kerajaan Persekutuan berat sebelah dan lebih memihak kepada syarikat konsesi air.

“Beliau seperti hanya mahu mencari kesalahan Kerajaan Selangor tetapi menutup mata bagi setiap kesalahan syarikat konsesi yang sudah terbukti gagal memberi khidmat kepada rakyat,” katanya.

Kok berkata, beliau amat berharap rakyat tidak mudah terpedaya dengan taktik Syabas yang menjadikan diri mereka seolah-olah ‘korban’ dalam isu air ini.

"Yang menjadi korban dalam isu ini adalah rakyat.  Syabas dan Puncak Niaga diberikan layanan permaidani merah oleh kerajaan Barisan Nasional ketika mengambil alih pengurusan air dari Perbadanan Urus Air Selangor (PUAS).  Apabila syarikat ini gagal menaikkan tarif air sehingga 37 peratus,  mereka menyaman Kerajaan Selangor.

“Rakyat sepatutnya tidak memberi muka atau bertolak ansur terhadap Syabas yang sombong, angkuh dan gagal menjalankan tanggungjawab terhadap rakyat,” katanya.

0 comments:

top