PETALING JAYA 25 SEPT : Selaras dengan usahanya untuk Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES), Kerajaan Negeri Selangor semalam mewartakan tanah seluas 1 ekar untuk didirikan lapan buah Tadika Rakyat di Kampung Lindungan, Petaling Jaya.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, kerajaan negeri memperuntukkan RM62,500 untuk membina lapan buah Tadika Rakyat yang terdiri daripada empat buah kelas aliran Melayu dan empat buah kelas aliran Bahasa Inggeris.

" Saya difahamkan projek ini memerlukan RM150,000 untuk menyediakan kelengkapan dan peralatan lain. Oleh itu saya mencadangkan YB Nik Nazmi dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kutipan dana Tadika Rakyat Kampung Lindungan untuk mencari tambahan," ujar Khalid pada acara pecah tanah yang diadakan di Jalan PJS 6, Desa Mentari, Kampung Lindungan.

Menurut Khalid, beberapa subjek utama akan diajar kepada murid-murid yang memasuki tadika ini iaitu subjek Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Matematik dan Pendidikan Agama Islam dan Moral.

Tambah beliau, kerajaan negeri akan menggunakan sistem tender terbuka untuk pembinaan dan pengurusan tadika berkenaan.  

"Kita juga akan buka tender kepada mana-mana pihak korporat, persatuan NGO yang berminat dalam pembinaan dan pengurusan pentadbiran pendidikan kelak," kata Khalid.

Pada majlis yang sama,Khalid turut memberitahu kerajaan negeri akan menyelesaikan isu Sekolah Tamil dan Sekolah Kebangsaan yang tertangguh sekian lama.

Hal itu akan dibawa kepada Kerajaan Persekutuan untuk tindakan segera. Sekolah yang terbengkalai di atas tanah seluas 3.5 ekar itu juga akan dipastikan siap dalam masa 5 bulan.

"Kita seharusnya berharap agar Kerajaan Persekutuan segera membina Sekolah Tamil dan sekolah kebangsaan bagi keperluan pembelajaran anak-anak penduduk disini.

"Kerajaan negeri juga akan memastikan tapak sekolah Tamil itu akan digazetkan untuk masa depan anak bangsa dalam memastikan semua rakyat berhak mendapat pendidikan," tambah Khalid lagi.

Turut hadir pada majlis pecah tanah ialah Exco kerajaan Negeri Xavier Jayakumar, Adun Seri Setia Nik Nazmi,Ahli Parlimen Gwo-Burne Low, Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras DUN Seri Setia, Syed Shahir Mohamud dan Pegawai Daerah Petaling Zulkefli Ahmad.

Kerajaan Pakatan Rakyat sebelum ini berjaya membina 20 buah kelas tadika di seluruh Selangor sepanjang tempoh pentadbiran.


Sumber: TVSelangor

0 comments:

top