GOMBAK 14 Sept - Presiden Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini mengunjungi keluarga Allahyarhamah Datuk Sosilawati Lawiya bagi menyampaikan ucapan takziah daripada KEADILAN dan juga kerajaan negeri.

Kedua-dua pemimpin tersebut turut diiringi Ahli Parlimen Gombak, Azmin Ali, Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin Selangor, Dr Xavier Jayakumar, Ketua Angkatan Muda KEADILAN Malaysia, Shamsul Iskandar Mohd Akin dan pimpinan serta anggota parti.

Mereka tiba di rumah Allahyarhamah di Taman Harmonis di sini kira-kira pukul 2.30 petang dan meluangkan lebih sejam bertanya khabar kepada anak-anak Sosilawati serta memberikan mereka semangat sebelum mengadakan majlis tahlil.

Ketika bercakap kepada media, Menteri Besar mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarhamah sambil menyifatkan pembunuhan Sosilawati sebagai mengejutkan, kejam dan tidak berperikemanusiaan.

"Saya mengucapkan tahniah kepada pihak polis bagi pihak kerajaan negeri Selangor dapat menyelesaikan kes pembunuhan ini dengan pantas dan kita berharap polis juga mampu membuat penyiasatan terperinci sehingga pihak yang bersalah dihadapkan ke pengadilan," kata Abdul Khalid.

Abdul Khalid menganggap Sosilawati seorang usahawan wanita yang gigih dan berjaya dan kehilangan beliau amat dirasai terutamanya oleh ahli Dewan Perniagaan Melayu Wilayah Persekutuan dan Selangor.

Sosilawati, 47, dan tiga lagi lelaki yang hilang sejak 30 Ogos dibunuh sebelum mayat mereka dibakar disebuah ladang ternakan di Telok Gadong berhampiran Tanjung Sepat, Morib pada tengah malam Sabtu lalu.

Jutawan kosmetik yang merupakan pengasas Nouvelle Visages hilang selepas dikatakan ke Banting atas urusan jual tanah.





Sumber: TVSelangor

0 comments:

top