Azmin Makin Mantap, Terima Sokongan 13 ADUN

Selepas disokong 20 anggota Parlimen dan Dewan Negara Parti Keadilan Rakyat, lebih ramai perwakilan PKR menyatakan sokongan terbuka kepada naib presiden parti, Azmin Ali yang mahu bertanding merebut jawatan timbalan presiden.

Pada sidang media di Shah Alam hari ini, 13 ADUN PKR meluahkan sokongan mereka kepada Azmin yang didakwa pemimpin paling sesuai memegang jawatan berkenaan.

Diketuai oleh Yaakob Sapari (Kota Anggerik), kumpulan itu terdiri daripada sembilan ADUN dari Selangor dan empat dari Negeri Sembilan.

Hadir pada sidang media ini adalah ADUN Dr Xavier Jeyakumar (Sri Andalas), Amirudin Shari (Batu Caves), Nik Nazmi Ahmad (Seri Setia) dan Shuhaimi Shafiei (Sri Muda).

ADUN PKR Selangor yang termasuk dalam kumpulan berkenaan tetapi tidak hadir adalah Roziah Ismail (Batu Tiga), Gan Pei Nei (Rawang), Lee Kim Sin (Kajang) dan Haniza Talha (Taman Medan).

Manakala perwakilan dari Negeri Sembilan pula terdiri daripada Aminuddin Harun (Sikamat), Rashid Latif (Ampangan), M Ravi (Port Dickson) and Chai Tong Chai (Chuah).

Yaakob berkata Azmin merupakan pemimpin paling layak menduduki kerusi nombor dua dalam parti itu kerana telah lama bersama dengan parti itu.

"Kami yakin Azmin calon yang terbaik kerana tabah dan pasrah ketika berjuang dalam wadah PKR dan menempuh pelbagai cabaran termasuk difitnah ahli keluarga sendiri," katanya.

Ditanya sama ada sokongan mereka itu merupakan cubaan menolak pencalonan Datuk Zaid Ibrahim bagi jawatan itu, Yaakob menafikannya sebaliknya berkata ia hanyalah proses demokrasi yang didukung PKR.

Timbalan Presiden PKR kini disandang oleh Syed Husin Ali yang dijangka tidak akan mempertahankan jawatannya meskipun belum membuat pengumuman rasmi berhubung parkara itu.



0 comments:

top