Pesalah Trafik Dicadang Ditahan

Pendekatan yang dilakukan untuk mengawal kadar kemalangan jalan raya sewaktu musim perayaan khususnya Hari Raya Aidilfitri perlu diberikan suntikan segar bagi mendidik pengguna jalan raya  supaya lebih berhati-hati dan berhemah.

Menurut kajian yang telah dijalankan oleh Institut Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), saban tahun negara telah kerugian sebanyak RM 9 bilion akibat kemalangan jalan raya.

Malah kes kemalangan maut semakin meningkat dari tahun ke tahun. Menurut kajian itu lagi, jumlah kematian maut akibat nahas jalan raya tahun 2009 adalah sebanyak 6,745 kes. Kesannya, negara kehilangan sumber modal insan yang begitu besar akibat kematian di jalan raya.

Walaupun pelbagai kempen yang dilakukan seperti Ops Sikap, namun kempen tersebut tidak menunjukkan kesan yang signifikan dalam mengurangkan kes kemalangan.

Kaedah yang diambil oleh pihak penguatkuasa dalam menangani pesalah trafik adalah bersifat menghukum. Ternyata, saman yang dikenakan kepada pesalah trafik tidak mampu menyedarkan mereka untuk mematuhi undang-undang.

Tambahan pula, undang-undangan penguatkuasaan bagi mengawal kesalahan trafik bersifat orientasi wang (money oriented).  Ada dikalangan pesalah trafik sanggup membayar saman tanpa merasa insaf.

Justeru, saya berpendapat perlu ada satu pendekatan yang harmoni serta menyeluruh  dalam mendidik pengguna jalan raya.

Saya mencadangkan agar pesalah trafik seperti memandu melebihi had maksimum ditahan lalu diberikan kaunseling seterusnya tidak dibenarkan meneruskan perjalanan untuk tempoh 2 hingga 4 jam.

Ini kerana kebiasaan pemandu yang memandu secara laju dan berbahaya ingin sampai ke destinasi dengan masa yang singkat tanpa mengira soal keselamatan.

Sebagai contoh, pemandu yang memandu laju di Lebuhraya Nilai, ditahan selama 2 jam di kawasan rehat dan rawat (R&R) Seremban.

Dengan cara ini, ia dapat memberi pengajaran besar  kepada pengguna jalan raya agar memandu secara selamat dan tidak terburu-buru.

Selamat memandu dan salam Hari Raya Aidilfitri.


YB DR HJ YAAKOB BIN SAPARI

0 comments:

top