Dr Xavier Buat Laporan Polis Isu SMS

KLANG – Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Kota Raja, Dr Xavier Jayakumar membuat laporan polis berhubung satu khidmat pesanan ringkas (SMS) berantai memburukkan imej beliau dan ahli keluarganya.

Xavier berkata, laporan polis itu terpaksa dibuat berikutan SMS berkenaan disebarkan kepada orang ramai sejak tiga minggu lepas.

Menurutnya, antara kandungan SMS itu menuduh beliau mendapat kontrak daripada Kerajaan Negeri untuk kepentingan peribadi dan ahli keluarganya yang lain.

“Tuduhan ini sangat serius, jika benar saya melakukan penyelewengan diminta individu yang menyebarkan SMS ini tampil ke hadapan dan membuat laporan polis terhadap saya.

“Saya sedia bekerjasama dan sanggup disiasat pihak berkuasa termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),”katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang, semalam.

Xavier yang juga merupakan Exco Kerajaan Negeri memberitahu, antara kandungan SMS yang diterimanya turut menyebut beliau akan menganugerahkan pingat kepada rakan-rakanya jika menyokong beliau pada pemilihan PKR Cabang Kota Raja, Ahad ini.

Katanya, dakwaan sedemikian tidak berasas sama sekali kerana penganugerahan pingat hanya boleh dilakukan oleh Sultan Selangor.

“Penyebaran SMS ini merupakan satu usaha bagi menjatuhkan imej saya dan ia perlu dihentikan segera.

“Saya yakin SMS ini ada kaitan dengan pemilihan PKR Kota Raja yang akan diadakan pada Ahad ini (esok),”katanya.

Xavier berkata, pengirim SMS itu dipercayai dilakukan individu sama berdasarkan nombor telefon yang tertera.

Justeru katanya, pihak polis perlu menyiasat perkara tersebut supaya individu terlibat dalam penyebaran SMS berkenaan dibawa ke muka pengadilan.

Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar berkata akan meneliti terlebih dahulu laporan polis Dr Xavier sebelum mengambil tindakan selanjutnya.

Beliau berkata, sebaik sahaja meneliti laporan berkenaan pihaknya akan menentukan sama ada akan menyiasat kes tersebut atau menyerahkannya kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Menurutnya, ia berikutan laporan berkenaan melibatkan penyebaran fitnah melalui SMS.

“Saya belum melihat laporan itu lagi, jadi saya tidak boleh beri keputusan bilakah siasatan akan mula dijalankan,”katanya.

0 comments:

top