3 Juta Beg Plastik Dikurangkan Sejak Januari

SHAH ALAM,19 SEPT – Kempen Tanpa Beg Plastik yang dilancarkan Januari tahun ini, membabitkan 75 peruncit dan 300 cawangan pasar raya, berjaya mengurangkan penggunaan hampir 3 juta beg plastik di seluruh Selangor.

Pegawai Khas kepada Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar, Brian Yap berkata, kempen itu berjaya mengurangkan masalah alam sekitar yang serius.

“Kempen ini diadakan pada setiap hari Sabtu dan pembeli yang tidak membawa beg sendiri perlu membayar 20 sen untuk setiap beg plastik.

“Bayaran itu akan disalurkan kepada program tanggungjawab social syarikat masing-masing atau diberikan kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Alam Sekitar ataupun persatuan kebajikan,” katanya.

Menurutnya, sebagai contoh, The Store mengumumkan hasrat untuk mendermakan wang yang dikumpul kepada persatuan membantu orang buta.

Beliau berkata, bilangan penambahan hari mungkin ditingkatkan jika mendapat persetujuan sebulat suara daripada semua pihak yang terlibat.

Brian berkata, kempen ini akan diteruskan kerana ia berupaya memberi kesedaran dan manfaat kepada pengusaha dan pengguna, iaitu dengan mengurangkan kos pemprosesan beg plastik serta mengurangkan pencemaran alam sekitar.

Katanya, pada awal pelaksanaan, terdapat juga rungutan daripada segelintir pengguna yang merasa ‘janggal’ pelaksanaan kempen itu, tetapi ia sementara sahaja dan sekarang, penerimaannya amat menggalakkan.

“Ada juga sesetengah pihak yang menyarankan agar kempen ini dijalankan pada tiga atau empat hari seminggu memandangkan kempen ini hanya berlangsung pada hari Sabtu sahaja setakat ini,” jelasnya.


Sumber: Selangorkini

0 comments:

top