KUALA LUMPUR 22 OKT : Pakatan Rakyat (PR) yakin hasrat menurunkan perbelanjaan mengurus sebanyak 10 peratus dan defisit 3.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) boleh dicapai walaupun diragui pelbagai pihak.

Ahli Parlimen Serdang, Dr Ong Kian Ming, berkata matlamat itu dapat dilaksanakan melalui pengurangan ketirisan dan pembaziran wang negara seperti yang dikenalpasti dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2012, baru-baru ini.

Beliau berkata, hasrat itu akan dapat dicapai jika program yang tidak efektif dan menelan belanja besar seperti Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dimansuhkan segera.

“Perbelanjaan mengurus untuk Kementerian Pertahanan adalah RM11.97 bilion bagi tahun 2013 tidak termasuk bajet tambahan.

“Mengikut anggaran bajet 2013, PLKN menggunakan perbelanjaan sebanyak RM712 juta berbanding seluruh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang mempunyai peruntukan bajet sebanyak RM738 juta.

“Perkara ini jelas menunjukkan PLKN memakan bajet yang lebih kurang sama dengan satu Kementerian. Program ini patut ditangguhkan dan dikaji semula,” katanya ketika sidang media, di lobi Parlimen, hari ini.

Katanya, perbelanjaan mengurus untuk Kementerian Pendidikan dan Pengajian Tinggi adalah RM36.6 bilion bagi tahun ini tidak termasuk bajet tambahan.

“Perbelanjaan itu antaranya merujuk kepada pengurusan kawalan keselamatan di sekolah membabitkan RM1.6 bilion daripada RM2.02 bilion kontrak pengurusan dibazirkan. Program Susu 1Malaysia pula gagal apabila hanya mencapai 40 peratus sasaran daripada peruntukan RM170 juta.

Selain itu, sebanyak 83 projek bernilai RM2.2 bilion mengalami kerugian lebih 50 peratus daripada nilai asal ekoran kelemahan pemantauan ke atas projek berkenaan di bawah Kementerian Kerja Raya,” katanya.

Kian Ming berkata penjimatan membabitkan beberapa aspek boleh mengurangkan perbelanjaan mengurus untuk kementerian berkenaan sebanyak 4.5 peratus.

“Ini adalah segelintir daripada program dan aktiviti yang dijalankan beberapa kementerian membabitkan pembaziran daripada pelaksanaan program yang kurang efektif. Walaupun program yang disenaraikan di atas bukan banyak, tetapi kos penjimatannya begitu ketara,” katanya.

Sumber: SelangorKu

0 comments:

top