Kenyataan Media
YB Dr Xavier Jayakumar, ADUN Seri Andalas

Henti Jadikan Peruntukan dan Bantuan Pendidikan Projek Segera Untuk Raih Undi Pilihanraya

Pendidikan sepatutnya tidak dipolitikkan apatah lagi dijadikan modal untuk meraih undi ketika pilihanraya. Namun, perkara tersebut terus berlaku akibat kerakusan dan ketamakan kuasa oleh Barisan Nasional tanpa mengambil kira kesan jangka panjang akibat tindakan yang diambil.

Terbaharu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan peruntukan berjumlah RM2.25 juta untuk sekolah-sekolah Cina di sekitar kawasan DUN Sungai Limau. Tindakan mengumumkan projek segera untuk meraih undi tatkala hari mengundi menjelang beberapa hari sahaja lagi boleh disifatkan sebagai satu tindakan yang amat terdesak.

Perkara yang sama turut berlaku sebelum ini, kaum Cina dan India terutamanya digula-gulakan dengan janji-janji bantuan pendidikan setiap kali adanya pilihanraya. Adakah peruntukan dan bantuan pendidikan hanya diumumkan ketika Barisan Nasional mahu memenangi sesuatu pilihanraya dan mendapat sokongan rakyat sahaja?

Saya pasti rakyat secara umumnya dan pendundi khasnya telah maklum dan matang dengan taktik memancing undi dengan menabur segala projek segera oleh Barisan Nasional. Namun dengan menjadikan pendidikan sebagai projek segera menunjukkan bahawa Barisan Nasional yang menerajui Kerajaan Pusat mengambil enteng tentang hala tuju pendidikan negara.

Keadaan ini adalah sangat membimbangkan dan tidak hairanlah  risiko jurang pencapaian sistem pendidikan Malaysia dengan negara lain semakin lebar. Ini terbukti melalui pentaksiran antarabangsa terbaharu yang dikeluarkan oleh Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA) dan Kajian Trend Pendidikan Matematik dan Sains Antarabangsa (TIMSS).

Berdasarkan keputusan TIMSS 2011, 35 peratus dan 38 peratus murid Malaysia gagal mencapai tahap kemahiran minimum dalam Matematik dan Sains, iaitu kenaikan dua hingga empat kali ganda berbanding tujuh dan 13 peratus pada 1999. Keputusan tidak memberansangkan juga dicatatkan oleh pelajar Malaysia dalam keputusan pada kitaran pentaksiran untuk PISA 2009, kedudukan negara terletak di kelompok ketiga terbawah dalam kalangan 74 negara, iaitu dibawah pencapaian purata antarabangsa dan Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD).

Hampir 60 peratus murid berumur 15 tahun yang menyertai PISA 2009 juga gagal mencapai tahap kemahiran minimum dalam Matematik, manakala 44 peratus dalam Bacaan dan 43 peratus dalam Sains. Sepatutnya Kerajaan Pusat sedar dengan risiko jurang ini dan mengambil langkah berhemah dalam memastikan hala tuju pendidikan negara namun tetap meneruskan pendidikan sebagai projek segera mereka.

Sebarang peruntukan dan pembangunan melibatkan pendidikan seharusnya mengambil kira bukan sahaja matlamat jangka pendek malah matlamat dan kesan jangka masa panjang. Perlu mengambil kira semua peringkat umur serta menyediakan lepasan sekolah dengan kemahiran tinggi serta kemahiran teknikal untuk mewujudkan tenaga kerja mahir yang bakal menerajui negara nanti. 

Saya juga berharap Kerajaan Negeri Selangor melihat apa yang dilakukan oleh Barisan Nasional yang menerajui Kerajaan Pusat dalam isu menjadikan pendidikan ini sebagai projek segera ini sebagai satu sempadan. Dalam pembentangan Belanjawan Selangor yang akan datang ini saya berharap pembangunan pendidikan mengambil kira semua peringkat umur, keperluan semua jenis sekolah serta  matlamat jangka panjang menyediakan generasi pekerja mahir.

Menjadikan pendidikan sebagai projek segera meraih undi pada pilihanraya perlu dihentikan dengan segera dan perlu fokus kepada perancangan yang teliti untuk kehendak sebenar.    

YB DR XAVIER JAYAKUMAR
ADUN SERI ANDALAS

31 OKTOBER 2013

0 comments:

top