KUALA LUMPUR 21 OKT: Pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) perlu ditangguhkan kerana bakal meningkatkan beban golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata penangguhan itu perlu dilakukan sehingga pendapatan minimum isi rumah mencapai tahap yang dikira sesuai bagi menyerap sebarang kesan terhadap kuasa beli akibat pelaksanaan GST.

Beliau berkata, pendekatan itu perlu diambil memandangkan rakyat sedang berhadapan dengan kadar perbelanjaan dan tanggungan hutang isi rumah yang tinggi.

“Kita akan memastikan pelebaran ‘band’ cukai pendapatan terutama membabitkan golongan menengah bagi mengelakkan kemasukan mereka ke ‘band’ cukai lebih tinggi dalam tempoh singkat. PR juga mensasarkan pelepasan cukai lebih banyak yang harus diberikan kepada golongan ini.

“Selain itu, kajian berkenaan pertukaran cukai korporat atau peribadi dengan GST perlu dilaksana dan diperjelaskan kepada rakyat. Hal ini penting bagi mengelakkan mereka dibebani pertambahan cukai akibat GST jika cukai korporat atau peribadi dikekalkan pada kadar sama,” katanya pada pembentangan Belanjawan Alternatif PR 2014, di Parlimen, hari ini.

Anwar berkata, PR akan memperkenalkan sistem cukai lebih adil melalui pengembalian Cukai Keuntungan Harta Tanah (RPGT) pada tahap sebelum tahun 2007 bertujuan mengekang kegiatan spekulasi hartanah berlebihan.

“Tahap RPGT sebelum tahun 2007 membabitkan cukai berperingkat adalah pada kadar 30 peratus bagi tahun pertama sehingga cukai terendah lima peratus bagi perjualan tahun kelima. Pelaksanaan sistem cukai ini akan bersifat lebih saksama kepada rakyat secara keseluruhannya,” katanya.

Sumber: SelangorKu

0 comments:

top