SHAH ALAM, 24 JUL : Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) seharusnya memberi laluan kepada Kerajaan Negeri untuk mengurus industri air di Selangor kerana gangguan bekalan seperti pencatuan dan tekanan rendah akan memberi kesan kepada wanita dan keluarga.

Exco Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains Teknologi dan Inovasi, Rodziah Ismail berkata, wanita yang kebiasaannya menjadi nadi rumahtangga memerlukan bekalan air sempurna saban hari agar pengurusan rumahtangga sempurna.

“Syabas tidak pernah meminta pandangan Kerajaan Negeri, jauh sekali untuk berbincang mengenainya. Senario ini sekaligus memberi kebimbangan kepada kaum wanita khususnya, apabila air dicatu di bulan Ramadan.

“Urusan rumahtangga terganggu. Anak-anak tidak terurus sehingga amalan
ibadah juga turut terganggu.

“Ia boleh melibatkan soal-soal kesihatan dan perkara-perkara lain yang
akan timbul akibat penawaran air yang terganggu tanpa alasan yang benar,” Rodziah berkata di dalam kenyataan medianya semalam.

Mengikut perjanjian konsensi 2004, Syabas, sebuah syarikat swasta, dipertanggungjawabkan untuk mengurus operasi rawatan dan edaran air di Selangor.

Kerajaan Negeri mahu mengambilalih operasi itu daripada Syabas kerana syarikat itu dilihat tidak mampu mengurus bekalan dan edaran air terawat dengan baik.

Akan tetapi, pada Julai 23, kerajaan pusat tidak meluluskan permintaan Kerajaan Negeri.

“Suatu pendekatan memberi kebajikan dan keselesaan rakyat tanpa pembaziran dan kos yang berlebihan adalah terbaik untuk rakyat Selangor di bawah pentadbiran Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

“Justeru, Syabas diingatkan supaya tidak menjadi dalang utama dengan cuba menyekat bekalan air di Selangor terutama di bulan Ramadan untuk kegunaan rakyat.”

Sumber: Selangorku

0 comments:

top