Kerajaan Negeri Selangor meragui motif pembentukan sebuah jawatankuasa khas oleh kabinet untuk meneliti isu air  di Selangor, Wilayah Persekutuan dan Putrajaya.

Ini memandangkan sudah adanya Kementerian  Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) di mana menterinya mempunyai bidang kuasa yang termaktub dalam Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (WSIA 2006), kata Exco kerajaan negeri, Dr Xavier Jayakumar.

Jawatankuasa khas itu dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan dianggotai  Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Idris Jala, Menteri; Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal dan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Noh Omar.

"Oleh kerana kuasa yang diberi kepada menteri KeTTHA gagal digunakan untuk melaksanakan penstrukturan semula industri air di Selangor dan tidak dimasukkan dalam Jawatankuasa khas kabinet, (maka) kerajaan negeri menyeru menteri KeTTHA untuk meletak jawatan dengan segera.

"Kita juga mempertikaikan peranan Datuk Noh Omar dalam jawatankuasa khas kabinet tersebut, kerana beliau adalah menteri kerajaan persekutuan yang begitu lantang melobi untuk pembinaan Loji Langat 2.

"Sekiranya kerajaan pusat masih bertegas untuk penubuhan jawatankuasa khas ini, adalah wajar 5.7 juta pengguna air Selangor diwakili oleh Menteri Besar Selangor untuk menjaga kepentingan mereka," katanya dalam satu kenyataan.

Sumber: Malaysiakini

0 comments:

top