Saya selaku ahli EXCO Negeri Selangor yang bertanggungjawap terhadap isu air negeri Selangor ingin memberikan kenyataan berhubung kenyataan Datuk Seri Peter Chin Fah Kui, Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air dan Datuk Seri Noh Omar, Menteri Pertanian Asas Tani merangkap Timbalan Pengerusi UMNO Selangor yang mahukan “Bina Loji Langat 2 dahulu dan bincang kadar tarif air kemudian” yang disiarkan oleh beberapa akhbar media utama semalam.

1) Saya berpendapat kenyataan kedua-dua Menteri Pusat tersebut adalah kenyataan yang tidak bertanggungjawap. Kenyataan mereka dilihat “bercakap” bagi pihak pembekal air Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas)  sebuah  syarikat ‘profit making’ kerana selepas Loji Langat 2 yang bernilai RM8.65 bilion ini siap kelak, Syabas akan mengenakan tarif air yang tinggi (kenaikan dijangkakan sehingga 70%) kepada pengguna (rakyat Selangor) bagi membayar balik  kos projek RM8.65 bilion tersebut.

2) Kerajaan Persekutuan sepatutnya menghormati Akta Perkhidmatan Industri Air  2006 (WSIA 2006) yang diluluskan oleh Parlimen. Dalam Akta tersebut semua urus selia air hendaklah di”kembali” kan  kepada urus tadbir Kerajaan Negeri.

3) Datuk Peter Chin,  Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air seharusnya menggunakan kuasanya untuk menguatkuasa akta tersebut lantaran semua ‘cakap-cakap’ berkaitan krisis air akan segera selesai.      
  
4) Kita ingin tegaskan bahawa 7 buah empangan sediada membekalkan air mentah melempah-lempah dan kita tidak nampak rasionalnya untuk ‘impot’ air dari Pahang. Harus diingat Kerajaan Negeri  terpaksa membayar ‘royalti’ air kira-kira RM60 juta setiap tahun kepada Pahang sedangkan kita mempunyai air mentah yang banyak.

5)  Kita faham bahawa pihak Pemberi Pinjaman dari Jepun iatu Japan International Cooperative Agency (JICA) hebat menekan dan mendesak  Kerajaan Pusat untuk menyiapkan projek tersebut kerana sebahagian dana pinjaman kos projek bernilai RM8.65 bilion itu telah digunakan tetapi Kerajaan Negeri berpendapat tiada sebab ianya harus di “bulldozer”  tanpa mengambil kira ianya akan membebankan rakyat Selangor         

6)  Rakyat Selangor adalah kalangan yang cerdik pandai, mereka sedia maklum  bahawa dalam satu sistem monopoli , pemilik konsesi (dalam kes ini Syabas) akan menentukan kenaikan kadar tarif dan rakyat tidak mempunyai kuasa untuk menghalangnya. Dalam kes ini “bina dulu, bincang kemudian”  akan hanya “menguntungkan Syabas dahulu dan akan merugikan rakyat Selangor kemudian “   

7)  Rakyat Selangor akan melakukan ‘referendum’ samada mahukan projek Langat 2  atau tidak dalam PRU 13 akan datang.  Kita minta Menteri-menteri Pusat yang ‘beriya-riya’ mendesak mahukan Loji Langat 2 itu disegerakan agar belajar bersabar.

YB Dr. Xavier Jayakumar
EXCO Kerajaan Negeri Selangor

 Tarikh : Sabtu 14 Julai, 2012

0 comments:

top