Dana MIMBAR Disempurnakan Hujung Tahun Ini

SHAH ALAM, 9 JUL : Kerajaan Selangor mensasarkan dana RM 20 juta yang diperuntukkan bagi Skim Mikrokredit Miskin Bandar (Mimbar) akan digunakan sepenuhnya menjelang hujung tahun ini.

Exco Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi dan Inovasi, Rodziah Ismail berkata, sehingga Jun 2012, Kerajaan Negeri telah memberikan RM 11 juta kepada 4,452 peminjam bagi pelaksanaan skim itu.

Menurutnya, dana tambahan perlu dilaksanakan pada tahun hadapan memandangkan permintaan terhadap skim itu kian bertambah.

“Bagi memastikan kelangsungan dan sasaran program ini dapat dicapai, dana yang diperolehi itu diberikan secara berperingkat. Setiap minggu, Mimbar mensasarkan kira-kira 250 peminjam di mana kutipan hutang yang dibayar semula oleh peminjam ini akan digunakan sebagai wang pusingan.

“Bagaimanapun dana tambahan perlu dilaksanakan memandangkan permintaan meningkat dan tidak mencukupi sepenuhnya,” katanya.

Rodziah berkata demikian semasa menjawab pertanyaan mulut daripada Azmin Ali (Bukit Antarabangsa-PKR) dalam sidang Dewan Negeri Selangor di sini.

Tambahnya, Kerajaan Negeri turut menyediakan latihan intensif kepada peniaga kecil-kecilan bagi meningkatkan kemahiran dan kepuayaan mereka supaya perniagaan dapat dikembangkan.

Beliau berkata, program untuk ibu tunggal dan golongan kurang upaya (OKU) juga disediakan selaras dengan hasrat kerajaan negeri sebagai negeri berkebajikan.

“Kita tidak tinggalkan mereka dalam lingkungan kemiskinan. Kita bantu mereka dengan pelbagai program seperti pembersihan masjid dan pembungkusan semula produk bagi meningkatkan pendapatan mereka.

“Selain itu, peminjam Mimbar pula akan diberi latihan dan tunjuk ajar mengenai ilmu berdaya saing dalam perniagaan supaya mereka dapat meningkatkan skil di peringkat yang lebih tinggi,” ujarnya.


Sumber: Selangorku

0 comments:

top