Anwar : Ambil Alih SYABAS Elak Harga Air Naik

KUALA LUMPUR 20 JULAI : Pengambilalihan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) yang diusahakan Kerajaan Negeri Selangor bertujuan mengelakkan tarif air meningkat hingga 70 peratus.

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkara itu berbeza dengan cadangan Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Selangor,Datuk Seri Noh Omar yang menawarkan air percuma melalui subsidi kepada syarikat swasta.

Beliau yang juga Penasihat Ekonomi Selangor menyifatkan air sebagai khazanah bumi yang tidak wajar dijadikan barang dagangan hingga membebankan rakyat.

“Kita tidak boleh terima syarat penswastaan Kerajaan Pusat dengan Syabas kerana kadarnya tinggi. Ia dibuat dengan tidak telus dan tanpa tender,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan ringkas sempena program ‘Wacana Pencerahan Bersama Pensyarah University Oxford, Dr Tariq Ramadan: Islam dan Reformasi Pemikiran Ummah’ di rumahnya malam tadi.

Program bermula dengan solat Maghrib berjemaah diikuti dengan solat hajat. Dr Tariq memulakan syarahan sebaik selesai solat Isyak dan tamat kira-kira pada jam 11 malam.

Turut hadir Ketua Penerangan PKR, Dr Muhammad Nur Manuty; Pengerusi Islamic Rennaisance Front, Dr Farouk Musa, selain pimpinan parti, ahli akademik dan wakil badan bukan kerajaan.

Anwar merujuk usaha delegasi kerajaan Selangor diketuai Dr Xavier Jayakumar dan Teresa Kok mengutus surat kepada Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Kah Fui pada 18 Julai lalu.

Pada 18 Julai lalu, delegasi kerajaan Selangor diketuai Dr Xavier Jayakumar dan Teresa Kok mengutus surat kepada Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Kah Fui bagi memaklumkan hasrat itu.

Sumber: Selangorku

0 comments:

top