MB Cadang Ambil Alih Operasi SYABAS

SHAH ALAM, 16 JUL : Ekoran krisis air yang sengaja ditimbulkan bagi menakutkan rakyat, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri mempunyai hak untuk mengambil alih pengurusan operasi Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas).

Beliau berkata, keputusan itu dibuat setelah Kerajaan Pusat tidak memberi sebarang maklumbalas terhadap dua surat yang dihantar Kerajaan Negeri pada 19 Disember 2008 dan 21 Januari 2011 untuk membatalkan perjanjian konsesi tersebut.

Menurutnya, tindakan itu dibuat menggunakan kuasa di bawah Klausa 32 dalam perjanjian konsesi.

Menteri Besar juga memaklumkan beliau sudah menulis surat kepada Kerajaan Pusat dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Span) bagi mencari penyelesaian masalah ini.

Abdul Khalid menjangkakan keputusan dari Kerajaan Pusat akan diumumkan pada minggu depan.

“Sekiranya Kerajaan Pusat pentingkan keperluan rakyat Selangor, maka mereka akan menerima keputusan Kerajaan Negeri,” katanya dalam sidang media di SUK hari ini.

Jelasnya, tindakan mahkamah terhadap Kerajaan Pusat akan diambil sekiranya mereka masih berdegil untuk tidak membenarkan Kerajaan Negeri mengambil alih penstrukturan semula industri air di negeri ini.

Dalam sidang media sama, Abdul Khalid turut mendedahkan laporan awal audit yang mendapati Syabas gagal melaksanakan kerja-kerja capex (capital expenditure) mereka dengan baik.

“Ini jelas ditunjukkan apabila Syabas setakat bulan April 2012, mempunyai tanggungan jumlah tertunggak kepada operator rawatan air dianggarkan sebanyak RM2.8 bilion. Syabas juga gagal menurunkan kadar air tidak terhasil (non-revenue water) kepada 20%,” katanya lagi.

Sehubungan itu, beliau memutuskan untuk meminta Setiausaha Kerajaan Negeri bersama Pengawal Selia Air Negeri untuk memantau perkhidmatan air oleh Syabas.

Katanya, jawatankuasa ini akan meminta Syabas memberi laporan harian untuk menerangkan kedudukan air semasa.

“Konsortium Abbas juga akan diminta menyertai jawatakuasa ini yang mana syarikat itu akan memanggil pakar bebas yang berpengalaman semasa krisis air 1998 untuk memantau kesahihan laporan dan maklumat oleh Syabas.

“Masalah kekurangan air tidak sepatutnya berlaku dan Kerajaan Negeri meragui pengumuman cadangan catuan air oleh Syabas kerana Pengawal Selia Air Negeri dan Ahli Lembaga Pengarah Syabas tidak dimaklumkan.

“Kerajaan negeri juga akan meneruskan usaha mencari sumber air alternatif seperti air tanah dan menambah baik kapisiti loji rawatan air sedia ada dengan mengguna pakai teknologi terkini,” ujarnya.

Syabas sebelum ini memaklumkan akan menghantar kertas cadangan kepada Span bagi melaksanakan program catuan air di Kuala Lumpur, Klang dan Hulu Langat.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ruslan Hassan berkata, cadangan itu akan dikemukakan minggu depan dalam usaha mengurangkan masalah pengguna di tiga kawasan terbabit yang didakwa berdepan krisis air serius.


Sumber: Selangorku

0 comments:

top