SHAH ALAM, 9 JULAI : Sebanyak 465 buah sekolah di Selangor menerima bantuan pendidikan sejak empat tahun Kerajaan Negeri di bawah Pakatan Rakyat.

Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr. Halimah Ali berkata, sebanyak 256 buah Sekolah Agama Rakyat (SAR), 112 buah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan 97 buah Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) menerima bantuan itu.

Katanya, pengagihan peruntukan kepada sekolah-sekolah ini bertujuan memastikan proses pembelajaran dan pengajaran berada di tahap optima.

“Peruntukan yang diberikan berbeza kerana bergantung kepada keperluan yang diperlukan sekolah-sekolah ini,” katanya ketika menjawab soalan daripada Amirudin Shari (Batu Caves-PKR).

Sementara itu, bantuan fizikal yang dipohon termasuk bangunan tambahan, pembelian komputer, membaiki tandas dan mengecat sekolah.

Manakala bantuan bukan fizikal adalah seperti pembayaran yuran pelajar miskin dan penambahbaikan sistem pembelajaran.

“SJKT memohon bagi Kerajaan Negeri membayar yuran bagi pelajar miskin dan SAR memerlukan guru-guru pakar bagi meningkatkan kualiti pembelajaran dan pengajaran,” jelasnya.

“Setiap permohonan perlu menyertakan laporan lengkap beserta gambar dan ia akan dinilai sebelum sesuatu peruntukan diberikan,” katanya lagi ketika menjawab soalan tambahan daripada Yap Ee Wah (Sungai Pelek-BN).


Sumber: Selangorku

0 comments:

top