UNISEL Akan Cairkan Aset Untuk Bantu Pelajar

KENYATAAN AKHBAR
KHAMIS, 7 JUN 2012
UNISEL AKAN CAIRKAN ASET UNTUK BANTU PELAJAR


Kerajaan Selangor memandang berat kesusahan yang dihadapi pelajar-pelajar baharu Universiti Selangor (UNISEL)  yang teraniayai ekoran tindakanKerajaan Persekutuan dan Menteri PengajianTinggi yang membekukan PTPTN kepada pelajar di universiti tersebut.

Sebagai tindakan jangka pendek, pihak UNISEL akan menggunakan asetnya untuk membantu pelajar-pelajar yang dalam kesukaran meneruskan pengajian. Aset ini merupakan hartanah seluas 500 ekar yang diperolehi hasil penyusunan semula hutang-hutang TALAM.

Kerajaan Selangor telah selesai menyusun semula hutang-hutang ini di mana tanah seluas 500 ekar telah menjadi aset UNISEL.

Kerajaan negeri akan membantu UNISEL mengapungkan hartanah tersebut dipasaran untuk mendapatkan wang tunai. Dianggarkan sejumlah RM30 juta boleh diperolehi hasil dari usaha ini. Sebahagian wang ini akan digunakan untuk membantu pelajar-pelajar yang teraniayai akibat dari tindakan kerajaan BN membekukan PTPTN.

Walaubagaimanapun, bantuan kewangan ini hanyalah berbentuk sementara sehingga penyelesaian konkrit dicapai. UNISEL akan memperincikan bantuan yang akan diberikan kepada pelajar -pelajar teraniayai ini dalam tempoh terdekat.

Kerajaan Selangor sangat kecewa dengan tindakan Kerajaan Persekutuan khususnya Menteri PengajianTinggi yang mengaku bertanggungjawab mengarahkan pembekuan PTPTN kepada UNISEL.

Tindakan tidak bertanggungjawab dan membelakangi semangat Federalisme ini bukan sahaja menganiayai pelajar-pelajar baharu malah telah mengecewakan ibubapa  yang menaruh harapan tinggi terhadap anak-anak mereka.

Barisan Nasional telah menjadikan pelajar UNISEL dan ibubapa mereka yang sebahagian besarnya Melayu sebagai mangsa hanya kerana perbezaan dasar politik antara Kerajaan Selangor dan Pusat.  Hal ini jelas menunjukkan BN sanggup melakukan apa sahaja untuk melaksanakan politik sempit mereka hatta menganiaya dan menggadai masa depan anak-anak muda di negara ini.

TAN SRI ABDUL KHALID IBRAHIM
DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR

0 comments:

top