Peniaga Kecil Sambut Baik MiMBAR Kerajaan Negeri

KLANG 14 JUN : Orang ramai khususnya peniaga kecil di negeri ini menyambut baik Program Mikrokredit Miskin Bandar (MiMBAR) yang diperkenalkan Kerajaan Negeri pada Mac lalu.

Peniaga kecil yang ditemui di Majlis Taklimat MiMBAR di Pasar Besar di sini rata-rata berpendapat program itu banyak membantu golongan usahawan kecil di kawasan bandar bagi memajukan perniagaan serta menambah pendapatan.

Dalam majlis itu, seramai 60 peniaga membuat permohonan pinjaman skim terbabit daripada 85 peniaga keseluruhannya di pasar itu.

Majlis itu dihadiri oleh Adun Meru, Dr Rani Osman, Ahli Majlis Majlis Perbandaran Klang (MPK), Noh Najhan Mohd Salleh dan Pengurus Data Mimbar, Mohamad Asri Abd Hamid.

Peniaga Bunga, Azura Amran, 45, berkata beliau menyertai skim ini bagi membiayai modal pusingan serta membantu kos pembelian barangan.

“Skim ini banyak membantu peniaga bagi memulakan perniagaan atau mengembangkan perniagaan sedia ada dengan memberikan pinjaman tanpa faedah serta khidmat nasihat,” katanya ketika ditemui.

Beliau yang menjalankan perniagaan menjual bunga sejak 1991 secara kecil-kecilan turut mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana berjaya menganjurkan skim yang boleh membantu golongan berpendapatan rendah untuk memulakan perniagaan.

“Saya berharap permohonan ini berjaya. Jika berjaya saya akan menggunakan peluang ini dengan sebaiknya,” katanya.

Peniaga lain, Mohd Zhafir Sharifuddin, 21, berkata MiMBAR yang diperkenalkan Kerajaan Negeri di bawah agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) sememangnya banyak membantu dan meringankan bebanan peniaga yang kurang berkemampuan atau berpendapatan rendah khususnya yang berpendapatan RM1,500 sebulan.

Katanya, pinjaman menerusi program itu juga tidak membebankan kerana ia tidak mengenakan sebarang kadar faedah.

“Saya ingin mencubanya bagi mengembangkan lagi perniagaan kuih karipap yang dikendalikan olehnya serta empat adik beradiknya yang lain.

“Kami berniaga di pasar malam sekitar Klang dan Shah Alam. Jika permohonan berjaya kami mahukan menambah pelbagai jenis kuih muih dan mahu membeli alatan untuk menghasilkan karipap besar ini,” katanya.

Bagi, S.Parvathy, 42, pula, pinjaman MiMBAR juga amat mudah berbeza dengan kaedah disyaratkan institusi kewangan serta Ah long yang menyusahkan dan membahayakan peminjam.

“Jika mahu meminjam daripada pihak bank, mereka tidak menawarkan pinjaman yang sedikit jadi ia akan menyukarkan peniaga kecil seperti saya yang mahu menambah modal atau sebagainya,” katanya.

Ibu tunggal dari tiga orang anak itu berkata daripada program itu juga usahawan muda boleh mengambil manfaat kerana ia memberi peluang dan galakan menceburi bidang perniagaan.

Sementara itu, Pengurus Data Mimbar, Mohamad Asri Abd Hamid berkata setakat ini seramai 4,280 peniaga kecil dengan peruntukkan sebanyak RM8 juta sudah menerima manfaat itu.

Manakala seramai 7,000 peniaga masih dalam semakan dan dijangka akan diselesaikan hujung tahun ini.

Bagi daerah Klang, seramai 728 peniaga berjaya dan Shah Alam pula sebanyak 289 peniaga.

“Manakala bagi permohonan yang sedang diproses sebanyak 300 peniaga bagi kedua-dua PBT itu,” katanya.

Tambahnya, program Mimbar itu dilihat mendapat sambutan yang menggalakkan dari masa ke semasa.

Justeru, pihaknya mengadakan taklimat seperti itu seminggu sekali di semua PBT.


Sumber: Selangorku

0 comments:

top