SHAH ALAM, 6 JUN : Kerajaan Selangor hari ini menegaskan perbelanjaan modal (capex) bagi kerja-kerja penyelenggaraan adalah tanggungjawab Kerajaan Pusat dan bukan di bawah bidang kuasa negeri.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, capex hanya akan menjadi tanggungjawab kerajaan negeri sekiranya industri air negeri distruktur semula.

Kenyataan Abdul Khalid itu sekaligus menolak dakwaan Umno-BN bahawa krisis air sengaja dipolitikkan oleh kerajaan Pakatan Rakyat (Pakatan).

“Telah dinyatakan sebelum ini bahawa Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) bertanggungjawab memberi peruntukan supaya pembaikan dan pemulihan dapat dilakukan berasaskan kepada beberapa pemantau oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

“Apabila penyusunan semula air berlaku, barulah kerajaan negeri dapat menguruskan serta memberi peruntukan itu untuk kerja-kerja penyelenggaraan.

“Kita hanya ikut Akta Air atau Water Act (Wasiah),” katanya.

Sebelum ini portal berita Mstar Online melaporkan Koordinator Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Seri Mohd Zin Mohamed mendakwa masalah kekurangan bekalan air Selangor mula timbul selepas Pakatan mengambil alih pentadbiran.

Kata Mohd Zin, kerajaan negeri membekukan capex syarikat konsesi sehingga mereka tidak berupaya meneruskan kerja-kerja penggantian paip yang telah lama dan rosak.

Jelasnya, sikap kerajaan negeri menunding jari kepada syarikat konsesi adalah tidak masuk akal kerana mereka sendiri yang membekukan Capex.

Justeru ujar Abdul Khalid, forum khas air yang akan dilaksanakan minggu depan adalah peluang terbaik bagi menerangkan kaedah pengurusan air di Selangor dan kawasan Semenanjung.

“Kita perlu adakan forum ini kerana orang ramai masih tidak faham. Dulu Umno-BN kata Selangor tak cukup air mentah, kita dah terangkan semuanya. Sekarang mereka kata kita tidak cukup non-revenue water (NRW).

“Kerajaan negeri akan pastikan tiada kenaikan tarif air dan akan teruskan pemberian air percuma untuk jangka masa sepuluh tahun akan datang,” jelasnya.


Sumber: Selangorku

0 comments:

top