PETALING JAYA,12 JUN : Penyenaraian Felda Global Ventures Holdings (FGVH) di Bursa Malaysia menyebabkan peruntukan kepada pembangunan belia, generasi kedua dan ketiga di Felda akan mengalami pengurangan sebanyak 27 peratus.

Pengerusi Biro Pelaburan Dan Perdagangan PKR, Wong Chen dalam sidang media di ibu pejabat PKR berkata, pendapatan Felda akan mengalami kejatuhan sebanyak 64 peratus dengan keseluruhan peneroka kehilangan RM100 juta untuk bantuan kebajikan pada tahun ini.

Jelas beliau, menurut analisis yang dijalankan menunjukkan sebelum adanya FGVH setiap tahun Felda membelanjakan antara RM400 hingga RM500 juta setahun untuk kebajikan peneroka.

“Pada tahun 2011, Felda membelanjakan RM424 juta untuk peneroka.

Walaubagaimanapun, bagi tahun 2012, Felda bercadang untuk memotong belanjawan peneroka kepada RM326 juta,” katanya.

Jelas Wong, perbelanjaan ini termasuk dana bagi infrastruktur jalan, masjid, padang bola, perumahan, pendidikan, insentif Hari Raya dan insurans.

Apabila Felda memajak gadai tanah 350,000 hektar kepada FGVH, bermakna Felda  menyerahkan semua pokok dan hasil sawit kepada FGVH.

Ia menyebabkan pendapatan Felda jatuh mendadak.

“Pada tahun 2011, pendapatan Felda mencecah RM2.5 bilion tetapi selepas tanah dipajak, pendapatan 2012 dijangka turun ke RM900 juta sahaja,” katanya.

Tambah Wong, butiran yang didedahkan itu adalah daripada bajet rasmi Felda 2012.

Menurut butiran itu yang mengalami pengurangan peruntukan adalah pembangunan infrastruktur yang dikurangkan sebanyak 57  peratus daripada RM115 juta kepada RM50 juta.

Manakala insentif produktiviti untuk peneroka dikurangkan sebanyak 22 peratus daripada RM103 juta kepada RM80 juta.

Turut mengalami kesan adalah bonus Hari Raya yang dikurangkan sebanyak 25 peratus daripada RM40 juta kepada RM 30 juta.

Sementara  itu, pelan insurans bagi peneroka dikurangkan sebanyak 25 peratus daripada RM20 juta kepada RM15 juta.

“Jangan buli peneroka,ini bukannya caranya untuk membantu peneroka Felda,” katanya.


Sumber: Selangorku

0 comments:

top