Beku PTPTN UNISEL, Bukti BN Politikkan Pendidikan

SHAH ALAM, 7 JUN : Tindakan Perbadanan Tabung Pinjaman Tinggi Nasional (PTPTN) membekukan pinjaman kepada mahasiswa-mahasiswa UNISEL bukti Umno-BN mempolitikkan pendidikan untuk kepentingan dirinya sendiri.

Pemimpin Pakatan Rakyat hari ini berkata tindakan kerajaan pusat terhadap lebih 1,000 pelajar baru UNISEL atau Universiti Selangor merupakan dendam terhadap Pakatan Rakyat.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad, berkata Umno-BN hanya memperjuangkan kepentingan parti dan bukannya Melayu seperti yang dilaungkan mereka.

“Lebih 90 peratus pelajar UNISEL adalah Melayu Bumiputera dan ini membuktikan Umno sedang mengkhianati orang Melayu,” katanya dalam satu sidang media di pejabatnya di sini.

Hari ini, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata keputusan itu adalah untuk Pakatan membuktikan yang mereka mampu memberikan pendidikan percuma di Selangor.

Manakala Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyidin Yasin hari ini menyifatkan tindakan PTPTN adalah ‘adil’ untuk PKR menguji dasar pendidikan percuma di negeri ini.

Manakala, Exco Selangor, Dr. Yaakob Sapari menyelar tindakan Khaled itu sebagai menekan mahasiswa yang baru mendaftar.

“Menteri hanya diberi amanah mentadbir, mengapa perlu dikeluarkan arahan bagi menyekat itu dan ini.

“Perlu diingat bahawa 22 peratus dari cukai kerajaan pusat disumbang oleh kerajaan Selangor,” tegas beliau sambil menyifatkan keputusan itu tidak matang dan kebudak-budakan.

Katanya, Pakatan hanya akan melaksanakan dasar pendidikan percuma setelah mengambil alih Putrajaya.

“Tindakan ini membuktikan bahawa Umno-BN tidak akan menyediakan pendidikan percuma kepada rakyat.”

Sementara itu, setiausaha publisiti DAP Selangor Jenice Lee menyifatkan tindakan Khaled sebagai tidak professional.

Tegasnya pendidikan seharusnya bebas daripada campur tangan politik yang menindas mahasiswa.

“Keputusan itu jelas bermotifkan balas dendam terhadap Pakatan yang ingin melaksanakan pendidikan percuma dan saya perlu tegaskan bahawa pendidikan adalah tanggungjawab kerajaan pusat,” katanya yang juga Adun Teratai.


Sumber: Selangorku

0 comments:

top