Sebaran Media

7 Oktober 2009

KLIA Setuju Tangguh Roboh Kuil Sri Maha Mariamman Jenjarom


Setelah perbincangan dengan Kerajaan Negeri Selangor, Kuala Lumpur International Airport Berhad (KLIA Bhd) bersetuju untuk menangguhkan kerja perobohan Kuil Sri Maha Mariamman di Jenjarom sehingga persetujuan dicapai di kalangan pihak terbabit berhubung dengan tapak baru pemindahan kuil.

Exco kerajaan negeri merangkap Pengerusi Jawatankuasa Rumah Ibadat Bukan Islam Dr XavierJayakumar hari ini telah bertemu dengan pihak peguam, Pejabat Tanah dan Daerah, polis, dan pengerusi KLIA Bhd untuk membincangkan perkara tersebut.

“Kami berterima kasih kepada semua pihak atas keprihatinan dan kesabaran. Kami sedang berusaha untuk menyelesaikan perkara ini secara baik,” kata Exco Kesihatan, Pekerja Ladang Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin Negeri itu setelah berjumpa dengan pihak-pihak berkenaan.

Jelasnya, jawatankuasa kuil itu pada dasarnya bersetuju untuk berpindah dan memohon pihak pemaju agar menyediakan tapak baru di jalan utama ke Banting, iaitu 500 meter dari lokasi asal kuil.

Namun, menurut beliau, pihak pemaju iaitu KLIA Bhd telah mencadangkan tapak baru di Sungai Rambai, dan cadangan ini tidak dapat diterima oleh jawatankuasa kuil terbabit kerana terlalu berdekatan dengan kawasan perumahan masyarakat Islam.

“Kami telah meminta supaya pihak pemaju mempertimbangkan semula cadangan pihak jawatankuasa kuil.”

“Perkara ini wajar diselesaikan dengan cara muhibah dan secepat mungkin agar kepentingan semua pihak dapat terjamin,” tegas Xavier.(tamat)


Sekretariat Akhbar Kerajaan Negeri Selangor

0 comments:

top