Harap Tiada Lagi Amah didera: Dr Xavier

Klang - Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Dr Xavier Jayakumar berharap kes penderaan pembantu rumah tidak lagi berlaku terutamanya di negeri ini.

Beliau berkata demikian selepas membatalkan lawatan untuk melawat keadaan pembantu rumah warga Indonesia yang dimasukkan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) lima hari lalu akibat didera apabila pembantu rumah yang malang itu dimaklumkan telah meninggal dunia kira-kira jam 10 pagi semalam.



Mangsa yang dikenali sebagai Munti Hani, 36 ditemui separuh pengsan dengan kesan luka dan lebam di seluruh badan serta kepalanya dibotakkan disyaki didera oleh majikannya di Taman Sentosa, Klang.

Dr Xavier berkata, beliau amat kesal dengan tindakan yang dilakukan oleh majikan mangsa berkenaan dan kejadian yang kejam seperti ini tidak sepatutnya berlaku kerana ia akan mendatangkan imej yang buruk kepada negara.

"Saya tidak menyangka perkara seperti ini akan berlaku dan kesan dari indiden ini akan menyebabkan negara kita dipandang serong oleh negara luar," katanya ketika ditemui media di perkarangan HTAR, di sini, semalam.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai tindakan yang wajar dikenakan kepada majikan tersebut, beliau menyerahkan kepada pihak berkuasa (polis) untuk tindakan yang selanjutnya.

Dalam perkembangan yang berkaitan, beliau turut berkata, perbincangan masih dilakukan sama ada mayat mangsa akan dikebumikan di negara ini atau dibawa pulang ke negara asalnya.

"Perbincangan dengan pihak Kedutaan Indonesia akan dilakukan berkenaan pengebumian mangsa kerana suami mangsa berada di Indonesia, manakala tangkapan telah pun dilakukan oleh pihak polis dimana dua suspek telah ditahan reman iaitu majikan mangsa dan juga isterinya.

"Bagi menentukan punca kematiannya, jenazah terbabit akan dibedah siasat dan akan dilakukan di HTAR dengan seberapa segera," katanya.

Sumber: Sinar Harian, S3, 27 Oktober 2009


0 comments:

top