PETALING JAYA, 26 April – Kerajaan Selangor hari ini memberi sumbangan cek RM100,000 kepada Yayasan SSL, Strok dan Pembangunan Masyarakat bagi menanggung sebahagian kos pembelian mesin bagi membantu penderita strok.
Pemberian sumbangan itu bersesuaian dengan langkah kerajaan negeri dalam meningkatkan mutu perkhidmatan kesihatan di Selangor.
Penyampaian itu dilakukan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi & Inovasi dan Kebudayaan Negeri, Rodziah Ismail kepada Pengerusi yayasan tersebut, Sze Chang Heng di bangunan yayasan tersebut di sini.
Menurut Rodziah sumbangan itu dijanjikan oleh kerajaan negeri sejak setahun lalu.
“Saya di sini sebenarnya membawa satu janji , datang ke sini untuk menyelesaikan janji saya daripada kerajaan negeri Selangor untuk kami memberikan RM100 ribu seperti mana yang telah dijanjikan hampir setahun lepas untuk disumbangkan kepada Yayasan Strok SSL ini untuk memastikan bahawa pembelian satu teknologi terkini untuk membantu pesakit-pesakit strok akan dapat dijadikan kenyataan.
Saya dapat tahu kos mesin itu RM1.4 juta dan kini masih lagi dalam konteks mencari penyumbang atau mencari dermawan untuk dapat kita pastikan bahawa pembelian mesin ini dapat disempurnakan,” katanya.
Pihak Yayasan masih memerlukan sumbangan sekitar RM430,000 bagi menanggung kos peralatan rawatan memulihkan pesakit strok melalui mesin dikenali sebagai Lokomat iaitu teknologi dari Switzerland.
Mesin Lokomat itu menelan kos RM1.4 juta dan setakat ini hanya terdapat satu unit di negara ini iaitu di Yayasan SSL di sini.
Melalui mesin Lokomat, pesakit strok dan lumpuh akibat kecederaan otak traumatik dan saraf tunjang boleh menjalani rawatan pemulihan dengan lebih selesa dan intensif.
Menurut Rodziah pengunaan mesin Lokomat terbukti mampu membantu pesakit kembali berjalan semula dan telah diguna di beberapa negara antaranya Jepun, Australia dan Singapura.
Sumber: Selangorkini
0 comments:
Post a Comment