SHAH ALAM 5 April – Kerajaan negeri Selangor menggesa kerajaan persekutuan supaya memberikan hak sama rata dalam membanteras pemerdagangan manusia memandangkan ia adalah antara isu yang perlu ditangani bersama.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains Teknologi dan Inovasi, Rodziah Ismail berkata, kerajaan persekutuan seharusnya memberi ruang kepada kerajaan negeri untuk mengetahui perkembangan terkini berhubung isu berkenaan.

Ini kerana jelas Rodziah, segala kes pemerdagangan manusia yang berlaku ketika ini mempunyai hubung kait antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri.

“Adalah tidak adil sekiranya kerajaan persekutuan tidak memberikan kebenaran atau hak kepada kerajaan negeri untuk mengetahui perkembangan terkini isu tersebut. Isu pemerdagangan manusia adalah sesuatu yang serius dan perlu ditangani bersama untuk kebaikan semua pihak,” katanya.


Jelas beliau, kerajaan negeri Selangor masih tidak diberi akses untuk berjumpa mangsa dan mengetahui keadaan sebenar yang berlaku sehingga kini. Kementerian Dalam Negeri hanya membenarkan Kementerian Pembangunan Wanita untuk mengetahui perkembangan mangsa pemerdagangan.

Kata Rodziah, aspek perlindungan mangsa dan pendakwaan penjenayah pemerdagangan manusia seharusnya memerlukan interaksi, kerjasama dan hubungan berkesan di antara badan-badan yang diamanahkan.

Kerajaan negeri Selangor merupakan satu-satunya badan kerajaan yang telah mewujudkan unit anti pemerdagangan dinamakan Majlis Anti Pemerdagangan Manusia Negeri Selangor (Mapmas) dan Majlis Anti Pemerdagangan Orang (Mapo), selain turut melibatkan kerjasama jabatan dan agensi penguatkuasa serta Pihak-Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Tambahnya, langkah awal kerajaan negeri untuk memperkemaskan hubungan tersebut adalah dengan mewujudkan mekanisme berkesan dan aktif di peringkat PBT bagi menangani jenayah pemerdagangan manusia, seperti mewujudkan unit anti pemerdagangan manusia di setiap PBT.

“Usaha memberi kesedaran kepada ahli-ahli mesyuarat PBT telah dimulai dan mereka diharap akan menjadi mata dan telinga kerajaan negeri agar berupaya mengenal pasti amalan-amalan yang disyaki sebagai pemerdagangan manusia dan berupaya pula menghalang dan membanteras jenayah tersebut di peringkat komuniti,” katanya.

Justeru Rodziah menjelaskan, dasar pengambilan pekerja asing yang berlandaskan persetujuan di peringkat kerajaan-kerajaan, akan dipastikan bagi mengelakkan elemen-elemen penipuan, ancaman dan seumpamanya dengan tujuan eksploitasi daripada syarikat-syarikat swasta atau lainnya.

“Pendekatan teliti kerajaan Selangor ketika ini ialah memastikan bahawa infrastruktur dalam bidang pendakwaan penjenayah dan perlindungan mangsa jenayah pemerdagangan manusia ini diperkemas dan berfungsi dengan berkesan.

Di samping itu, langkah proaktif dalam mensosialisasikan pengetahuan mengenai pemerdagangan manusia didedahkan kepada rakyat agar mereka juga menjadi agen membasmi jenayah keji pemerdagangan manusia,” ujarnya.


Sumber: Selangorkini

0 comments:

top