Pendapatan PBT Selangor Meningkat

SHAH ALAM 5 April - Hasil kutipan pelbagai cukai di Selangor yang dijalankan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) menunjukkan peningkatan positif sepanjang tiga tahun bermula dari tahun 2008 sehingga 2010.

Demikian jelas Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Ronnie Liu dalam satu sidang media yang diadakan selepas mesyuarat Exco di Bangunan SUK.

Ronnie menjelaskan jumlah kutipan cukai yang dicatatkan sehingga 2010 adalah sebanyak RM864,192,484.

Katanya, pada 2008, hasil kutipan cukai yang diperoleh PBT adalah sebanyak 89.4 peratus dan merupakan antara pencapaian baik yang direkodkan, namun ia tidak terhenti di situ sebaliknya terus diperbaiki pada tahun 2009.

“Pada tahun 2009, kita mencapai kutipan cukai sebanyak 90 peratus. Pada 2010, jumlahnya meningkat sedikit kepada 90.7 peratus. Ini menunjukkan pada keseluruhannya kutipan cukai pintu dan lain-lain di Selangor telah dipertingkatkan,” katanya.


Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan kepada PBT untuk membaik pulih beberapa kawasan pangsapuri dan jalanraya di Selangor sekiranya mereka memperolehi rizab.


Sumber: Selangorkini

0 comments:

top