Polisi PR Selangor Disenangi Kakitangan Kerajaan

SHAH ALAM 19 April : Kakitangan profesional kerajaan negeri Selangor kini mampu membandingkan keberkesanan polisi pemerintahan kerajaan Pakatan Rakyat dengan Barisan Nasional (BN) terdahulu menurut Exco Kerajaan Selangor, Dr Xavier Jayakumar.

Katannya, kerajaan Selangor menggunakan pendekatan dengan membuka ruang perkongsian idea bersama-sama kakitangan profesional untuk mencongak perubahan yang boleh dikemukakan di peringkat akar umbi.

Perkara tersebut sekaligus mampu meningkatkan produktiviti kakitangan kerajaan seraya merapatkan jurang antara wakil rakyat dan masyarakat Selangor.

“Kakitangan kerajaan telah menampakkan perbezaan cara Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional memerintah negeri Selangor. Kakitangan kerajaan ini adalah kumpulan profesional yang telah diberi latihan. Mereka akan membawa cadangan bagaimana kita mahu majukan dan bawa pembangunan di dalam kawasan masing-masing,” ujar beliau.


Bercakap dalam segmen Bersama Pemimpin di Radio Web Selangor , Dr Xavier mengambarkan bahawa kesepakatan yang terjalin di antara wakil rakyat, kakitangan profesional dan syarikat swasta merupakan medium penting bagi menjana pertumbuhan sosio-ekonomi di negeri itu.

Jelasnya, sumber kewangan terhad perlu dikawal selia dengan baik untuk mengelakkan pembaziran dana kerajaan negeri.

“Ketiga-tiga ini akan bekerjasama dan kita akan bersama-sama bawa pembangunan yang istimewa kepada negeri Selangor di mana semua orang dalam negeri Selangor akan mendapat manfaat tersebut,” kata Dr Xavier.

Tambahnya lagi, Akta Kebebasan Maklumat (FOI) yang baru diluluskan pada sidang Dewan Negeri Selangor yang lalu diungkap sebagai titik permulaan polisi ketelusan yang disenangi masyarakat di bawah pemerintahan kerajaan Pakatan Rakyat.

Selain itu katanya, Program Merakyatkan Negeri Selangor (MES) kini masuk fasa kedua di mana program-program baru bakal diperkenalkan kepada masyarakat.

Tambah Dr Xavier, sejajar dengan pendekatan itu Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim akan memulakan program-program mendekati hati rakyat termasuk sesi dialog bersama pemimpin.

“Sekarang MB mulakan program turun padang 9 daerah pada tiap-tiap hari Jumaat. Satu hari dia beri tumpuan pada satu kawasan. Dia akan turun dan lihat kawasan-kawasan. Kalau ada kawasan yang teruk dan tidak ada kerja langsung, dia akan terus suruh pegawai-pegawai berkenaan selesaikan masalah,” kata beliau lagi. 

Sumber: Selangorkini

0 comments:

top