Kerajaan Negeri Selangor komited dalam memastikan setiap pembangunan di negeri ini menepati konsep syariah yang mengutamakan keadilan kepada semua rakyat tanpa mengira agama, bangsa dan status ekonomi.

Menteri Besar, YAB Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata konsep syariah ini akan diterapkan dalam semua program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) yang telah diperkenalkan sejak 2008 dan kini telah memasuki fasa ketiga.

Beliau berkata, program-program itu adalah bukti jelas bahawa kerajaan Pakatan Rakyat melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat dengan telus dan cekap, selaras dengan tuntutan syariah Islam.


“Seluruh jentera Kerajaan Negeri Selangor akan berusaha memastikan ketelusan, pertanggungjawaban dan tata-kelola yang baik menjadi prinsip panduan dalam pentadbiran dan pembangunan negeri,” katanya.

Menteri Besar berkata demikian ketika merasmikan Seminar Maqasid Syariah: Pembangunan Ekonomi Selangor kepada pegawai dan kakitangan kerajaan negeri di Dewan Jubli Perak di Shah Alam, hari ini.

Maqasid Syariah atau tujuan syariah adalah satu panduan pelaksanaan mengikut hukum Islam yang menjamin kebaikan kepada semua dan menghindarkan kemudaratan atau keburukan.

Maqasid syariah ini meliputi lima teras utama iaitu pemeliharaan agama dengan menolak perkara-perkara khurafat, tahyul dan munafik;  pemeliharaan akal dengan cara menambah ilmu dan mengamalkannya; pemeliharaan manusia dengan mengelak perbuatan mengancam keselamatan diri sendiri dan orang lain; pemeliharaan keturunan dengan memuliakan keperibadian dan menjauhi zina, fitnah, pembohongan; pemeliharaan harta dengan menolak rasuah, dan riba dan judi.

Seminar ini bertujuan memberikan satu landasan baru dan skop pandangan yang lebih luas kepada pegawai dan kakitangan kerajaan Selangor berkaitan pembangunan ekonomi negeri.

Ini bagi memastikan pembangunan di Negeri Selangor berkonsepkan syariah Islam supaya Selangor terus berkembang pesat, selaras dengan statusnya sebagai sebuah negeri maju.

Pada seminar ini, Presiden Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH), Dato’ Dr Siddiq Fadhil  menyampaikan syarahan kepada peserta manakala ucapan penggulungan disampaikan Penasihat Ekonomi Negeri Selangor, Datuk Seri Anwar Ibrahim.



Disediakan oleh

SEKRETARIAT AKHBAR
PEJABAT DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR

0 comments:

top