SHAH ALAM 21 OGOS : Kerajaan Negeri bersedia membentangkan draf cadangan pengambilalihan syarikat konsesi di negeri ini pada bila-bila masa sebagai langkah melaksanakan penstrukturan industri air di negeri itu.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, pihaknya mengalu-alukan perbincangan dengan Persekutuan mengenai perkara itu seperti yang dipersetujui sebelum ini.

“Kita sekarang sedang menanti peringkat akhir perbincangan ini untuk membentangkan draf cadangan masing-masing dan berharap ia dapat disegerakan demi untuk kepentingan rakyat yang tertekan dengan masalah air.

“Perlaksanaannya itu nanti juga perlulah holistik dan memberi kepentingan kepada semua pihak dan bukan keuntungan pihak tertentu sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kenyataan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili yang memberitahu masalah pembekalan air bersih di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya dijangka dapat diselesaikan dalam tempoh tiga bulan.

Bagaimanapun Maximus berkata, isu itu dapat menemui jalan penyelesaian dalam masa terdekat sekiranya Kerajaan Persekutuan dan kerajaan Negeri Selangor mencapai persetujuan dalam pelbagai perkara dan saling bertolak ansur.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri melalui anak syarikatnya Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) membuat tawaran bernilai RM9.65 bilion untuk mengambil alih empat syarikat konsesi air.

Empat syarikat konsesi itu antaranya Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas), Puncak Niaga Sdn Bhd, Konsortium Abass Sdn Bhd dan Syarikat Pengeluar Air Selangor (Splash).

Sumber: Selangorku

0 comments:

top