MBSA Edar 370 Topi Keledar Percuma

SHAH ALAM, 3 OGOS : Dalam usaha mendidik masyarakat terutamanya penunggang motosikal supaya berhati-hati dan mementingkan keselamatan khususnya menjelang Aidilfitri, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mengambil inisiatif dengan mengedarkan 370 topi keledar secara percuma.

Pengedaran topi keledar itu adalah bersempena Kempen Selamat Pulang ke Kampung anjuran MBSA dengan kerjasama Jabatan Keselamatan Jalanraya Selangor (JKJR), Sirim QAS International Sdn Bhd dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Mohd Jaafar Mohd Atan berkata, kempen kali ketiga itu bertujuan memupuk kesedaran kepada penunggang motosikal supaya menggunakan topi keledar yang disahkan selamat mengikut piawaian yang ditetapkan.

Menurutnya, kempen ini mensasarkan pelajar Institut Pengajian Tinggi Awam dan Swasta, pekerja industri dan orang perseorangan.

“Melalui kempen ini, topi keledar akan diedarkan kepada orang ramai dengan menggunakan konsep pertukaran topi keledar lama yang tidak lagi menepati spesifikasi keselamatan kepada yang baru.

“Kempen ini mendapat sambutan yang sangat baik daripada orang ramai dan diharapkan orang ramai sentiasa berhati-hati semasa berada di jalan raya,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan kempen itu di perhentian bas Jalan Persiaran Kayangan, Seksyen 7, di sini.

Katanya, kempen ini akan terus diperkasakan di masa akan datang melalui kerjasama dengan agensi dan badan bukan kerajaan (NGO).

Selain pengedaran topi keledar, Mohd Jaafar turut menyerahkan 500 pek bubur lambuk kepada penunggang motosikal dan orang ramai.

0 comments:

top