Kegagalan Syarikat Bekalan Air Syabas (Syabas) menyelia dan menyelenggara rumah pam di Wangsa Maju sehingga menyebabkan gangguan bekalan air yang semakin meruncing di sekitar Selangor Timur (meliputi Parlimen Pandan, Ampang, Gombak, Wangsa Maju dan Setiawangsa) benar-benar mengecewakan rakyat dan tidak boleh diterima sama sekali. Selepas kejadian yang menyebabkan gangguan bekalan air selama tiga minggu dalam bulan Disember 2012, kegagalan yang sama berulang melibatkan rumah pam yang sama.

Rafizi RamliIni memburukkan lagi keadaan di seluruh Selangor apabila kawasan-kawasan lain seperti Puchong dan Kelana Jaya turut terjejas. Syabas seringkali hanya memberi kenyataan mudah menyalahkan kadar penggunaan air yang kian bertambah yang menyebabkan gangguan bekalan air di kawasan-kawasan terbabit.

Kegagalan Syabas untuk menyelia/menyenggara rumah pam Wangsa Maju dengan baik (untuk mengelakkan kerosakan yang berlaku dalam bulan Disember 2012 berulang) dan merancang untuk memastikan bekalan air sentiasa bertepatan dengan kadar penggunaan air semasa membayangkan kelemahan-kelemahan ketara dalam pengurusan dan operasi Syabas.

Sebagai pemegang konsesi yang memonopoli bekalan air di Lembah Klang, kelemahan-kelemahan ini tidak boleh diterima sama sekali oleh pengguna. Syabas mempunyai tanggungjawab untuk memperbaiki kelemahan-kelemahan ini dan selagi gangguan berterusan akibat kelemahan-kelemahan ini, perlulah memberi pampasan kepada pengguna yang terkesan dari gangguan bekalan air.

Oleh yang demikian, sebagai Ahli Parlimen di salah sebuah kawasan yang paling terkesan dengan gangguan bekalan ini, saya telah membuat keputusan untuk memfailkan seberapa banyak kes tuntutan terhadap Syabas di Tribunal Tuntutan Pengguna mengikut Akta Perlindungan Pengguna 1999.

Mengikut Seksyen 53, Akta Perlindungan Pengguna 1999, “Jika perkhidmatan dibekalkan kepada pengguna, maka hendaklah tersirat suatu gerenti bahawa perkhidmatan itu akan dijalankan dengan ketelitian dan kemahiran yang munasabah.” Jika Syabas mempunyai ketelitian dan kemahiran yang munasabah, kelemahan-kelemahan yang menyebabkan gangguan bekalan air berulang telah lama dapat diatasi.

Pusat Khidmat Parlimen Pandan akan menghubungi seberapa banyak isirumah yang terjejas dengan gangguan bekalan air dan akan memfailkan kes terhadap SYABAS untuk menuntut pampasan di Tribunal Tuntutan Pengguna. Pengguna juga boleh mengisi sendiri maklumat di blog saya www.rafiziramli.com/tribunalpengguna. Saya mensasarkan sekurang-kurangnya 1,000 kes untuk difailkan terhadap Syabas bermula minggu depan.

Langkah untuk memaksa Syabas bertanggungjawab kepada rakyat perlu bermula dengan memastikan Syabas memberi pampasan kepada pengguna yang terjejas setiap kali ada gangguan bekalan air. Selagi tidak ada kempen tersusun untuk memaksa SYABAS memberi pampasan kepada rakyat, selagi itulah Syabas tidak menghiraukan kesusahan yang dihadapi rakyat setiap kali gangguan bekalan air berlaku.

Saya telah menghubungi YB Azmin Ali (Gombak), YB Zuraida Kamaruddin (Ampang), YB Dr Tan Kee Kwong (Wangsa Maju), YB Hannah Yeoh (Subang Jaya), YB Tiew Way Keng (Teratai), YB Iskandar Abdul Samad (Cempaka), YB Wong Chen (Kelana Jaya) dan YB Gobind Singh Deo (Puchong) untuk memulakan kempen tersusun memaksa Syabas memberikan pampasan kepada pengguna yang terjejas setiap kali ada gangguan bekalan air.

Saya juga telah menulis secara rasmi kepada Tan Sri Rozalli Ismail, Pengerusi Syabas untuk beliau turun sendiri ke Pandan menerangkan kepada penduduk sebab-sebab kegagalan Syabas membekalkan air dengan baik seperti yang diamanahkan mengikut perjanjian konsesi.
 
Rafizi Ramli
Pengarah Strategi KEADILAN
Ahli Parlimen Pandan

0 comments:

top