Tahanan EO Naik 400 Peratus

Laporan Hak Asasi Manusia 2010 yang dikeluarkan oleh Suara Rakyat Malaysia (Suaram) hari ini mendedahkan bahawa tahanan mengikut Ordinan Darurat (EO) meningkat sehingga 400 peratus sejak 10 tahun yang lalu.

Menurut laporan itu, sejumlah 3,701 orang ditahan mengikut EO antara 2000 dan 2009 manakala 819 orang masih ditahan sehingga Februari 2010.

Sebagai perbandingan, 25 orang ditangkap mengikut Akta Keselamatan Dalam Negara (ISA) pada 2010 dan jumlah yang ditahan itu tetap sama sehingga akhir tahun berkenaan.

Seperti ISA, EO juga memperuntukkan tahanan tanpa perbicaraan.

Pengarah Suaram Kua Kia Soong berkata strategi atau taktik baru kerajaan adalah menggunakan EO yang kurang dikenali yang membolehkan mereka menahan seseorang tanpa didakwa.

“Kami dapati jumlah tahanan mengikut ISA berkurangan tetapi tahanan mengikut EO dan Akta Dadah Berbahaya pula meningkat, mencecah ratusan dan ribuan. Ini amat serius,” katanya.

Sementara itu jumlah tahanan mengikut ISA jatuh daripada 43 orang pada 2008 kepada 25 orang pada 2010 tetapi tangkapa baru mengikut undang-undang itu meningkat dua kali ganda daripada 10 kepada 25 kes bagi tempoh yang sama.



Sumber: Malaysiakini

0 comments:

top