Baucar RM100 Amat Berharga Buat Warga Emas

SHAH ALAM 30 JULAI : Pemberian baucar membeli belah bernilai RM 100.00walaupun dilihat kecil oleh sesetengah pihak, namun ianya sangat berharga kepada golongan warga emas dan mereka yang kurang berkemampuan.

Kenyataan ini sekaligus menafikan pemberian Kerajaan Negeri Selangor melalui program ‘Jom Shopping’ yang disifatkan sebagai ‘gula-gula’ dan mengaburi mata rakyat tanpa sebarang bentuk pembangunan.

Menurut Rodziah Ismail, selaku Exco Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi dan Inovasi,pemberian baucar kepada warga emas ini merupakan janji yang telah ditunaikan setelah Pakatan Rakyat (PAKATAN) berjaya mentadbir Negeri Selangor.

“Dikatakan ‘gula-gula’ ini pada saya tidak betul. Kalau ‘gula-gula’ kita taburkan sahaja kupon ini dan terpulang kepada mereka sama ada ingin berbelanja atau tidak. Bagi saya, kita mesti pastikan ianya terus kepada warga emas itu sendiri.

“Saya faham apa yang dikatakan oleh Datuk Seri Najib Razak, beri RM 100.00 ‘riuh sekampung’. pada saya mungkin pada perdana Menteri nilai RM 100.00 terlalu kecil. Tetapi bagi pihak-pihak tertentu, terutamanya warga emas yang telah pencen dan tidak ada kewangan, RM 100.00 besar bagi mereka. Ini adalah hadiah yang telah kita janjikan oleh Kerajaan Negeri Selangor,” katanya.

Program ‘Jom Shooping’ yang diperkenalkan ini merupakan sebahagian daripada program untuk warga emas yang berusia 60 tahun ke atas yang telah berdaftar dengan Skim Mesra Usia Emas, SMUE melalui program Merakyatkan Ekonomi Selangor, MES.

Sebanyak RM 10 juta diperuntukkan untuk program ini melalui keuntungan perlombongan pasir yang dilakukan oleh Kumpulan Semesta Sdn Bhd, KSSB.

Beliau menambah, tidak ada gunanya sekiranya hanya mengumumkan projek bernilai jutaan ringgit walhal rakyat hanya memerhati tanpa mendapat sebarang manfaat daripada apa yang diumumkan.

“Pada saya, tiada gunanya kita umumkan pembangunan yang berjuta-juta dan berbillion ringgit, tetapi rakyat hanya memerhati sahaja. Pemberian RM 100.00 yang kita lakukan adalah terus kepada rakyat,” katanya.

Untuk tahun hadapan, Kerajaan Negeri akan melaksanankan beberapa program baru yang bakal memberikan manfaat kepada golongan warga emas, anak muda, wanita dan mereka yang berkeluarga.

Ujar beliau lagi, peluang membeli belah sebegini merupakan antara cara untuk meningkatkan perkembangan ekonomi selain memberikan peluang untuk warga emas menikmati suasana membeli belah dengan pengawalan yang lebih kemas dan teratur.

“Ada dua faktor iaitu, pertamanya harga barangan semakin mahal dan kita rasakan dengan dana yang diperuntukkan sebanyak RM 10juta paling tidak membantu perkembangan ekonomi dengan memberikan mereka peluang berbelanja.

“Yang kedua kita memandang selalunya warga emas ini diketepikan. Ada kalanya dalam keluarga itu sendiri sukar untuk membawa mereka keluar. kadang-kadang tiada kerusi roda, tidak boleh berjalan misalnya, mereka membeli untuk pihak (warga emas).Tetapi kali ini kita keluar dan mahu mereka sendiri memilih barangan yang dimahukan,” katanya.

Dalam sesi ‘Jom Shopping’ bertempat di Pasaraya Giant Seksyen 13, Shah Alam, seramai 93 orang warga emas telah dipilih untuk membeli belah menggunakan baucar RM 100.00 yang turut melibatkan kerjasama daripada tiga Pihak Berkuasa Tempatan iaitu Majlis Bandaraya Shah Alam, (MBSA), Majlis Perbandaran Klang, (MPK) dan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ).


Sumber: Selangorkini

0 comments:

top